Kali ni aqu share personal jurnal aqu utk trip pendakian ke Mt Krakatoa, Jawa Barat, Indonesia..aqu tempek sekali
galeri gambar dlm jurnal aqu ni supaya senang la nk polow citer dia..ok layan jer..lg satu,sbb ni personal jurnal,
harap sapa nk copy paste kasi pm aqu k..Untuk gambar2 yg lain bole tengok kt facebook album aqu, ni link dia http://adf.ly/fHx7
**************************************************************************************
KRAKATOA - BUKAN SEBARANG IGAUAN
Mungkin jika tergolong di antara ribuan mangsa letusan Krakatao pada 1883, untuk kembali memijakkan kaki di situ pastinya tidak terlintas di fikiran. Halusinasi ini membayangkan saat bumi di gigi Selat Sunda ketika itu tenggelam di dasar lautan sambil membenam jeritan ibu-ibu yang menangis bersama anak didakapan. Rumah yang menjadi perteduhan usang zaman-berzaman tersembam ke perut bumi tanpa meninggalkan pusaka untuk kaum dan keturunan. Tsunami yang disangkakan hadir selepas itu untuk menyejukkan bumi yang kepanasan, rupanya membawa pulang hanyir darah dan hangat tangisan ke tengah lautan. Langit sekian lama kegelapan. Terlitup debu-debu tanpa ada ruang untuk sinar mentari menembus harapan. Pastinya, amukan alam ketika itu bukan ada belas kasihan. Meluluhkan jutaan jiwa tanpa peringatan untuk dipesan. Meninggalkan ribuan jasad tanpa nesan untuk dikesan.

Krakatoa sebenarnya telah tenggelam dan tersemadi bersama sejarah pada 28 Ogos 1883, sejurus sesudah letusan. Malapetaka yang amat dahsyat itu turut memusnahkan gunung berapi itu bersama namanya secara keseluruhan. Dua pertiga dari daratannya telah berterbangan entah ke mana, menjadi sesuatu yang sukar untuk dijelaskan. Apa yang tinggal hanyalah cebisan daratan yang kelihatan seperti sebuah pulau dengan seribu robekan. Daratan itulah yang dikenali sebagai Pulau Rakata yang terletak di bahagian selatan. Derita keganasan Krakatoa lalu dianggap telah berakhir meninggalkan kenangan. Namun, cerita dan mimpi itu rupanya tidak berpanjangan. 44 tahun berlalu, hinggalah pada tahun 1927 muncullah sebuah daratan di tengah lautan. Selepas diselidiki, ahli geologi sependapat bahawa itulah kawah Krakatoa yang timbul hasil dari proses regangan dan mampatan. Nah, Krakatoa kembali memberi igauan.

November 2007 gunung berapi ini kembali mengejutkan dunia lagi dengan beberapa siri gegaran dan letupan. Rasa resah yang berabad lamanya terpendam kembali meledak difikiran. Kawah Krakatoa kini terpacul ke permukaan aras laut lalu diberi nama ‘Anak Krakatoa’ sebagai gelaran. Namun Krakatoa tetap Krakatoa,mana mungkin letusan pada 1883 yang 10,000 kali lebih dasyat dari letupan bom atom di Hiroshima itu dilupakan. Foto dari Marco Fulle,seorang saintis volkanologi dan astronomi jelas menunjukkan bahawa Krakatoa masih mempunyai kuasa bunuh yang tinggi dan menggerunkan. November 2010, ia sekali lagi mengamuk dengan menghamburkan pumis, tefra dan magma yang bergemercikan. Lantas menjadikan lapisan piroklastik yang menebali kubah stratovolcano Krakatoa semakin bertambah ketinggian. Kedudukannnya pada sempadan Lingkaran Api Pasifik plat tektonik Eurasian dan Australian jelas menambah-gelisah faktor kestabilan dan keselamatan.

Setelah sekian lama menanti masa dan kelapangan, penulis berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Krakatoa; gunung berapi yang dahulunya meninggalkan seribu kehancuran. Namun, pendakian pada Februari 2011 ini memerlukan lebih penelitian kajian dalam percaturan. Sesungguhnya ia turut menuntut keberanian yang melebihi tahap kebiasaan. ‘Keberanian bukan bermula dengan langkah, tetapi dimulakan dengan akal yang terpandu hati yang tajam’, pesanan yang tidak dilupakan. Lalu, penulis menyiapkan diri dengan sedikit analisis dengan mengambil kira faktor sejarah, geografi, geologi dan sebagainya yang bersangkutan. Penelitian hasil kajian Professor Jon Davidson, seorang ahli volcanologi di Universiti Durham, pembacaan buku Krakatoa: The Day the World Exploded hasil tulisan Simon Winchester dan pemahaman berpandukan beberapa sumber lain diambilkira sebagai rujukan.

Bagai dicatur bagai diatur, perjalanan melalui pesawat Air Asia pada lewat petang Jumaat 18 Februari 2011 akhirnya melewati terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta. Bersama dua rakan dari Malaysia; Rohana Man dan Sham, kami ditemani tiga rakan pendaki dari Indonesia lalu meneruskan perjalanan dari kota metropolitan Jakarta ke Anyer. Kereta yang disewa dari Jakarta itu membelah lebuhraya dalam pekat malam dan tiba empat jam kemudiannya. Bagai bibit lagu ‘Antara Anyer dan Jakarta’, kami disambut bunyi deruan ombak yang kuat sebaik sahaja pintu kereta dibuka. Pak Dedi yang akan menguruskan perjalanan bot pada keesokan harinya, menyambut mesra kedatangan kami. Pelawaan untuk menginap di rumah beliau amat melapangkan, seakannya telah terpupuk ikatan persaudaraan biarpun baru saling mengenali.

Perjalanan bot ke Krakatoa pada pagi Sabtu itu bagai dialu-alukan langit yang penuh gilang-gemilang di persisiran pantai Anyer. Namun pemandangan sebuah bot besar yang tersadai di gigi air lebih mengundang pandangan. Menurut penduduk, bot itu di lambung ombak lalu tersadai dan terbakar sehingga masih ada mayat yang belum dikeluarkan hingga saat itu. Sebagai pencinta alam bebas, penulis percaya bahawa sesuatu yang besar pasti ada tanda-tanda kecilnya. Dalam hati berbisik, apakah itu tandanya kami akan berdepan dengan gelombang Selat Sunda yang hebat?. Jawapan itu terbukti dengan kebenaran apabila pelayaran yang memakan masa hampir enam jam setengah itu menemukan ombak-ombak raksasa yang ganas. Nampaknya arus deras Selat Sunda yang memisahkan kepulauan Sumatera dan Jawa itu benar-benar menghalang pelayaran kami untuk mendekati Krakatoa.

Salam pertama dari Krakatoa mungkin agak kasar perlakuannya. Kepulan asap yang sekali-sekala kelihatan dari jauh bagai memberi tanda amaran biarpun raut wajah sebenarnya masih disembunyikan di balik pulau-pulau yang mengelilinginya. Pandangan seakan terpempan apabila Krakatoa betul-betul tegap berdiri di hadapan mata. Bagai tersuntik rasa kagum, adrenalin mula memuncak apabila melihat kesan-kesan amukan yang pernah menggemparkan dunia dulu. Saat bot mula menghampiri tepian pantai Karakatoa yang tiada berpenghuni itu, penulis masih terpaku memerhatikan dunia yang sebenarnya terlalu asing di situ. Terpaan ombak ketika terjun dari bot cukup membasahkan pakaian yang dipakai. Namun sinaran matahari terik yang disambut hamparan pepasir hitam di gigi air seakan menyedut kandungan air di badan terlalu cepat. Ternyata, keperluan sumber air di tubuh perlu di titik beratkan demi menghindarkan kadar kehidratan yang tinggi di situ.

Suasana petang itu terlalu panas. Keluasan Pulau Krakatoa masih belum cukup untuk awan- awan komulus datang berpaut. Sinaran matahari berterusan memanah kulit. Sekali sekala bayu laut kunjung berhembus tapi masih belum cukup untuk mendinginkan. Kesempatan berada di kaki Krakatoa digunakan untuk menyelidiki laluan serta faktor-faktor sokongan lain yang ada untuk memudahkan pendakian pada keesokkannya. Keadaan ini mengingatkan penulis kepada panduan yang perlu di selidiki terlebih dahulu andainya merintis laluan baru di hutan hujan Malaysia. Apa yang mungkin, tiada sebarang jalur pendakian dijumpai di situ kerana pastinya kesan-kesan laluan samada telah diseliputi debu-debu pumis dan tefra atau terhakis oleh kesan-kesan kelaran yang mengalirkan magma. Kelebihan berada pada bumi yang tandus seperti itu hanyalah jarak pandangan yang tiada had sepanjang pendakian.

Pemerhatian seterusnya ialah pada komuniti flora dan fauna yang menghuni Krakatoa. Proses kolonisasi jenis tumbuhan dan satwa masih terlalu baru dan hanya bermula sekitar tahun 1927 hingga sekarang. Di kaki gunung umumnya masih gondol kerana suhu tinggi dan kekurangan air. Tumbuhan yang dijumpai hanyalah jenis tumbuhan permulaan seperti gelagah (Saccharum spontaneum sp.) yang bersimbiosis dengan Azospirillum lippoferrum sp. Pada bahagian bawah yang telah ditumbuhi gelagah terjadi proses pelapukan pasir di sekitarnya yang kemudian akan tumbuh jenis Melastoma affine dan jenis-jenis tumbuhan lainnya. Varieti flora di pulau itu antara lainnya mempunyai taburan Lichines, Pteridophyta dan jenis Spermatophyta. Tiada sebarang haiwan yang dilihat di pulau itu. Jika ada pun hanyalah ketam-ketam kecil yang sebesar kuku yang bermain-main di pasir yang kehitaman.

Selepas berpuashati dengan pemerhatian di Krakatoa, kami memutuskan untuk bermalam di Pulau Sertung. Pulau Rakata, Pulau Panjang dan Pulau Sertung adalah serpihan daratan yang ditinggalkan Krakatoa selepas letusan 1883. Melalui pembacaan, dikatakan ketiga-tiga pulau yang mengelilingi Krakatoa adalah bibir kawah besar berdiameter 7km jika dilihat dari pandangan dasar laut. Pulau Sertung yang dihuni pada malam tersebut adalah kawasan hutan hujan yang proses survivalnya bermula selepas letusan dahsyat itu. Pengalaman pendakian di hutan hujan sedikit sebanyak dimanfaatkan ketika kami berusaha meredah hutan di situ untuk mencari sumber air bagi menampung keperluan air bersih. Menyaksikan keseluruhan Krakatoa dari Pulau Sertung lantas menyajikan pemandangan langit senja yang tidak terkata indahnya. Bersama kami pada malam itu ialah 2 penyelidik Australia yang turut sama bermalam di situ.


Ketika langit kirmizi masih belum bangun menyelimut subuh, kami sudah bersedia memuatkan beg galas dan peralatan di perut bot. Pendakian ke Krakatoa akan bermula pagi Ahad itu. Setibanya semula ke pantai Krakatoa, kami membuat persediaan perlu sebelum memulakan perjalanan. Pendakian tidaklah sesukar mana, cuma debaran pada amarah Krakatao kadangkala meragut keberanian ketika mengatur langkah satu persatu ke puncak. Tiada apa gajet yang dapat meramal dengan tepat pada kehadiran malapetaka alam. Penulis sedar pada ketika itu harapan hanyalah bergantung pada sedikit ilmu sebagai petunjuk. Jika ditakdirkan isi kawah di atas puncak itu melonjak meskipun hanya debu-debu, itu sahaja sudah cukup untuk menyesakkan nafas dengan bau sulfurnya yang beracun. Saat itu penulis hanya mampu berdoa kerana ia adalah satu-satu harapan untuk menentukan takdir.


Permukaan pasir-pasir halus menyukarkan kaki untuk menyanggah. Tiap kali maju setapak ke depan, pasir-pasir halus ini mendorong semula langkah berundur ke belakang. Agak memenatkan namun ini adalah pengalaman biasa bila mendaki di permukaan gunung berapi seperti ini. Sepanjang perjalanan kami ditemukan dengan pohon-pohon konifer yang kekeringan, mungkin pernah dihanguskan larva-larva panas yang menghambur sebelum itu. Selepas itu laluan akan melalui rumpun-rumpun jenis Spermatophyta pada permukaan yang hampir keseluruhannya didominasi oleh pasir-pasir hitam yang amat halus. Hinggalah pada akhirnya kita akan ditemukan kawasan tompokan-tompokan sulfur yang ketara mencorakkan permukaan pasir hitam itu dengan warna kuning dan putih. Melihat pada ketulan-ketulan batu besar yang berselerakan di merata tempat, penulis yakin ia diserakkan oeh letusan dari puncak kawah. Ah, betapa hebatnya kuasa alam.


Pandangan penulis sebenarnya tidak lepas-lepas tertumpu kepada beberapa punca geotherma yang termeluap ke udara dengan asap-asap putih yang tidak berhenti berhembus. Punca-punca ini boleh dijadikan petunjuk seandainya berlaku sebarang perubahan pada tekanan dari dasar bumi. Batu-batu kecil yang bergolekan dari atas juga diperhatikan. Setidak-tidaknya ia mampu menjadi isyarat kecil sekiranya berlaku sebarang letusan. Berkat kesabaran, akhirnya kami berjaya tiba di kawasan yang agak rata sebelum berhadapan dengan kubah larva yang lebih tebal debunya di hadapan. Setelah mengabadikan foto-foto sebagai kenangan, kami mencuba untuk mendaki kubah larva tersebut walaupun pada pandangan zahirnya ia tidak memungkinkan untuk didaki . Bahang dari kubah itu cukup memuncak dan membahangi kaki yang menginjak. Langkah yang diatur setapak dihadapan akan terdorong tiga tapak ke belakang. Ternyata, debu itu terlalu tebal dan halus untuk dicabar.


Puncak Krakatoa adalah sebuah kawah gunung berapi yang tidak diketahui jelmanya. Cuma jika diteliti melalui foto Marco Fulle dari udara, ia adalah satu kubah yang berstruktur bibir kawah yang tidak stabil. Pendakian menjadi terlalu berisiko untuk berada berhampiran kawasan kawah. Tambahan pula kawasan itu terlalu terdedah pada bahaya gas beracun yang mampu merosakkan sistem pernafasan paru-paru. Bagaimanapun kawasan berdebu tersebut amat mudah untuk dituruni, hanya perlu menggelonsor untuk mempercepatkan penurunan. Semasa menurun, kami berkesempatan mengikuti laluan larva yang mengalir ke laut. Larva yang telah mengeras itu menghasilkan bentuk mukabumi yang tampak artistik. Menjelang tengahari, penulis telah pun tiba semula ke tepi laut bersama rakan-rakan yang lain.

Kepuasan jelas terpancar. Tapi kami perlu segera beredar meninggalkan Krakatoa yang penuh risiko tak terjangka itu. Sayangnya malang menimpa. Bot yang menanti untuk membawa kami pulang tiba-tiba rosak. Dalam hati penulis tertanya, apakah sebegitu malang hingga diuji sebegitu rupa. Berada di pulau tanpa penghuni, yang ada hanyalah sebuah gunung berapi bersejarah yang mampu meletus bila-bila masa. Tiada sebarang alat perhubungan sebagai pertolongan. Tiada juga bot-bot yang melalui kawasan persisiran itu yang menghulurkan bantuan. Ketika merebahkan badan merehatkan diri, nafas dihela panjang-panjang mencari rasa tenang yang kian sembunyi. Air minuman yang semakin sedikit digunakan sebagai isyarat dan petunjuk untuk mengesan sebarang goncangan bumi. Akhirnya, doa kami dimakbulkan apabila pada lewat petang sebuah bot nelayan yang secara kebetulan melalui pulau itu sudi menghantar kami ke Pulau Sebesi untuk bantuan lanjut.

Rasa syukur dipanjatkan dalam-dalam. Kami meninggalkan Krakatoa tanpa selarik kata. Bot membelah samudera pada petang yang belum sepenuhnya sempurna. Dengan tidak semena-mena, bot bergoncangan. Dentuman kuat kedengaran. Serentak itu, kepulan asap hitam tebal menerobos ruang terang langit. Wah, Krakatoa meletus menampakkan kegagahan. Bagai tersihir dengan pandangan, penulis keterpakuan biarpun ombak seakan menerajang sisi-sisi bot. Kepulan asap pekat kusam melenyapkan pandangan seluruh susuk tubuh Krakatoa. Di sekitar perairan, debu-debu yang berantakan jatuh semula ke laut. Seisi bot sunyi sepi. Tiada masa untuk menyapu peluh dingin yang gugur entah untuk kali yang ke berapa. Hati kecil penulis terus berbisik; jika itu lah lambaian pulang dari Krakatoa, nyatalah ia terlalu simbolik untuk dingertikan.

Dengan arah berlawanan, kami meninggalkan Krakatoa, menebar lengang ke timuran. Biarpun bayang Krakatoa kian larut bersama senja merah saga, tapi konotasi cemas itu masih menerawangi ruang fikiran. Persisnya satu mimpi yang terbangun dengan peluh di sekujur tubuh kebasahan. Tiada apa sisa dan bekas yang ditinggalkan untuk Krakatoa sebagai kenangan. Jika ada pun hanyalah titis-titis keringat jatuh yang tentunya telah terhambur bersama letusan. Cuma harapnya titis itu bisa terapung diawangan, bergumpal bersama peluh dan tangis sekelian penghuni bumi yang mendambakan ketenangan. Lantas biarlah kepulan itu menjadi awan yang menaburkan hujan yang menyejukkan. Lalu siapa tahu akhirnya Tuhan akan menghadiahkan pelangi di hujung perjalanan. Mendamaikan seisi bumi dan menenangkan kembali Krakatoa di kamar persemayaman.
