
`Tanduk syaitan’ bawa syirik
Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: Penjualan perhiasan tanduk menyerupai imej syaitan secara berleluasa di sebahagian besar tapak karnival dan pusat tumpuan ramai di sekitar negeri ini, dikhuatiri boleh menjejaskan akidah umat Islam, terutama remaja dan kanak-kanak.
Tinjauan Harian Metro di beberapa karnival di sekitar negeri ini mendapati perhiasan itu yang dijual secara terbuka dengan harga RM5 satu mempunyai empat warna iaitu merah, biru, hijau dan kuning. Jika suis dihidupkan, ia akan menyala mengikut warna dibeli.
Selain dijual secara terbuka di tapak karnival, perhiasan itu turut dijual di beberapa lokasi pelancongan dan medan ikan bakar seperti di Kampung Senibong.
Apa yang dikesan, ibu bapa membeli perhiasan itu untuk anak manakala wanita bertudung serta remaja memakainya di kepala menjadikan kehadiran mereka di satu-satu tempat seolah-olah menyerupai tentera syaitan.
Walaupun pembeliannya sekadar suka-suka, hakikatnya penggunaan perhiasan berbentuk tanduk itu boleh merosakkan akidah seseorang.
Ia nyata bertentangan dengan syariat Islam kerana menyerupai syaitan bermakna berkawan dengan syaitan atau iblis, tidak kira sama ada pemakainya itu mempunyai niat tertentu atau sekadar suka-suka.
Mengulas penjualan perhiasan terbabit, Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, berkata haram bagi umat Islam memakai perhiasan menyerupai syaitan itu.
“Ia dosa besar serta syirik bergantung kepada niat pemakainya. Terdapat dua kategori niat pemakai itu iaitu secara suka-suka atau mengikut-ikut dan golongan pemakai yang berniat dan percaya penggunaan itu boleh membawa kepada kuasa lain.
“Jika pemakai itu menggunakannya secara suka-suka atau hanya sekadar mengikut-ikut, maka berdosa besar dan haram hukumnya.
“Jika pemakai tanduk itu berniat ia boleh memberikannya kuasa, kuat, pelindung atau kebal, maka hukumnya syirik kerana menyekutukan Allah,” katanya yang meminta umat Islam menghindari perbuatan itu.
Menurutnya, perhiasan tanduk itu boleh merosakkan akidah seseorang dan dikhuatiri akan membatalkan dua kalimah syahadah.
“Berikutan itu, saya menyeru semua umat Islam, terutama ibu bapa supaya memantau anak mereka daripada memakainya.
“Kanak-kanak mungkin tidak tahu apa hukumnya dan sebab itu ibu bapa perlu memantau perbuatan anak mereka. Pesanan sama turut ditujukan kepada remaja bagi mengelak melakukan kesilapan sama,” katanya.
lihat di sini....
http://www.hmetro.com.my/Current_News/m ... index_html