Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa

Menyimpan dan mengemaskini log yang telah diposkan di dalam Gunung Online
Post Reply
User avatar
shahrul
Senator Gunung
Posts: 819
Joined: 25 Apr 2011, 08:21
Location: streets of uptown

Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa

Post by shahrul » 15 Jul 2013, 00:15

Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa
Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Image
DUA sahabat, Asisten Superintendan Mohd. Hafiz Shamsudin dan Asisten Superintendan Raiz Mukhliz Azman yang bertugas di Bukit Aman, Kuala Lumpur tidak memandang ringan cabaran mendaki Gunung Kala Patthar di Nepal.

Kedua-dua mereka yang berusia 38 tahun telah membuat persediaan rapi membabitkan mental serta fizikal termasuk membaca pelbagai risalah dan maklumat berkaitan kawasan pergunungan itu.

Ini kerana perjalanan tersebut memakan masa selama 16 hari sebelum boleh menakluki gunung yang terletak berdekatan puncak tertinggi dunia itu iaitu Gunung Everest.

Bagi Raiz Mukhliz, mendaki Gunung Kala Patthar memerlukan ketahanan stamina, justeru dia melakukan latihan dengan berjalan kaki sejauh 10 kilometer (km) setiap hari.

Setelah yakin dengan kemampuan diri dan persiapan telah lengkap, mereka akhirnya memilih untuk mendaki gunung tersebut pada Januari lalu kerana pada waktu itu musim sejuk sedang menyelubungi seluruh Banjaran Himalaya.

Perancangan mendaki ketika musim sejuk itu merupakan salah satu cara untuk mencabar ketahanan diri mereka yang sebelum ini sudah menawan banyak kawasan pergunungan di tanah air seperti Gunung Tahan dan Gunung Kinabalu.

“Sepanjang pendakian selama lapan hari ke puncak dan enam hari turun, kami tidak menggunakan penunjuk arah dan pengangkut barangan. Peta merupakan komponen penting yang dibawa sepanjang pendakian bagi memandu arah kami,” ujar Mohd. Hafiz.

Menurutnya, kebanyakan pendaki dari Asia menggunakan khidmat penunjuk arah dan pengangkut barang untuk ke Everest Base Camp atau Kala Patthar. Namun, ada antara mereka yang terpaksa berpatah balik kerana mengalami serangan penyakit akut ketinggian (AMS).

Paling bahaya

Puncak Kala Patthar merupakan salah satu kawasan terbaik untuk melihat keindahan panorama Gunung Everest dengan jelas sekali gus menjadi tumpuan jurugambar.

Penerbangan selama lima jam dari Kuala Lumpur ke Kathmandu pada 17 Januari lalu merupakan perjalanan yang mengujakan mereka. Tiba di ibu kota negara Nepal itu, penerbangan diteruskan ke Lapangan Terbang Lukhla yang mengambil masa selama 45 minit.


LATAR belakang Glasier Khumbu di kawasan Everest Base Camp pada hari kelapan ekspedisi pendakian.

Bagi pendaki yang ingin ke Gunung Everest dan Gunung Kala Patthar, Lapangan Terbang Lukhla merupakan antara cabaran awal yang perlu dilalui.

Menurut Mohd. Hafiz, lapangan terbang itu merupakan lapangan terbang paling bahaya di dunia.

“Jarak landasan kapal terbang itu amat pendek, curam dan berdekatan kawasan berbukit namun ia tidak memberikan masalah kepada juruterbang,” jelasnya.

Setibanya di Lukhla, mereka ke terus berjalan kaki mengikut trek bersalji melalui laluan pendaki ke Phakding. Suhu sejuk yang mencecah 3 darjah Celcius menjadi peneman setia sepanjang perjalanan mereka.

Di Phakding, pemandangan kawasan pergunungan membuatkan mereka kembali mengimbau kenangan mendaki Gunung Kinabalu. Dengan pendakian tanpa penunjuk arah daripada penduduk tempatan, perjalanan mereka ternyata lebih santai walaupun ada misi yang perlu diselesaikan. Mereka boleh singgah untuk bermalam dan berehat di mana sahaja dengan harga yang murah.

Dengan bajet kurang daripada RM5,000, pendakian secara sendirian adalah pilihan yang terbaik untuk mendaki kawasan pergunungan itu. Ia meliputi tiket penerbangan, kelengkapan pendakian dan penginapan.

Ketika di tanah air, Mohd. Hafiz telah bersiap sedia membawa sehelai Jalur Gemilang. Dalam keghairahannya, dia tertinggal bendera itu dan cuma menyedarinya apabila tiba di bumi Nepal.

Bagi mengekalkan semangat patriotisme, Raiz Mukhliz melukis bendera Malaysia pada kertas untuk diletakkan di salah sebuah restoran di sana.

Antara kawasan yang menjadi laluan dan persinggahan semasa pendakian dari Phakding ke Kala Patthar ialah Namche Bazaar, Tengboche, Dingboche, Lobuche dan Gorak Shep kemudian melalui Everest Base Camp sebelum sampai ke puncak Kala Patthar.

Menurut Raiz Mukhliz, setibanya di Namche Bazaar dari Phakding yang mengambil masa selama tujuh jam itu, mereka memasuki Taman Negara Sagarmatha untuk membayar permit mendaki pergunungan itu.

Ketika di kawasan tersebut, mereka perlu memakai pakaian yang lebih tebal kerana salji tebal dan suhu mencecah -2 darjah Celcius.

“Namche Bazaar ialah kawasan persinggahan utama para pendaki ke Everest Base Camp. Di sana, pendaki boleh mendapat bekalan makanan dan tempat tinggal sebelum meneruskan perjalanan,” jelas Mohd. Hafiz ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Paling mencabar

Ceritanya lagi, di setiap persinggahan, dia dan sahabatnya itu meringankan beg dengan cara menyimpan makanan yang dibawa dari Malaysia di hotel-hotel dan mengambil kembali bekalan itu sewaktu pulang.


MOHD. Hafiz (kiri) dan Raiz sempat bergambar kenangan di Kuil Swayambunath, Kathmandu, sebelum pulang ke tanah air.

Pendakian mereka turut menemukan dengan lembu bertanduk panjang serta berbulu tebal yang jarang ditemui di kawasan lain iaitu yak.

Ketika ditanya cabaran yang paling getir dihadapi oleh mereka, Mohd. Hafiz memberitahu, pendakian dari Phakding ke Namche Bazaar paling menguji ketahanan mental dan fizikal mereka.

“Laluan sepanjang 3,500 meter dari Phakding ke Namche Bazaar bukanlah kawasan tertinggi sepanjang pendakian kami. Namun, laluan yang seolah-olah menegak itu ternyata menyukarkan kami untuk meneruskan perjalanan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, mereka juga berselisih dengan pendaki dari Belanda, Jepun serta Korea Selatan bersama dengan penunjuk arah dan pengangkut barang yang sudah berjaya menamatkan pendakian mereka.

Dua sahabat itu juga berjumpa dengan seorang pendaki berumur dalam lingkungan 20-an yang berpatah balik kerana diserang AMS. Namun, situasi itu tidak melemahkan semangat mereka untuk meneruskan pendakian.

Sepanjang pendakian ke Everest Base Camp dan Kala Patthar, terdapat dua tempat yang harus dijadikan persinggahan pendaki bertujuan mengelakkan serangan AMS.

“Namche Bazaar dan Dingboche merupakan kawasan persinggahan untuk para pendaki menyesuaikan perubahan tekanan. Sekiranya pendaki terkena serangan AMS, mereka akan mengalami pening kepala yang teruk sehingga boleh menyebabkan kematian,” jelas Raiz Mukhliz.

Keghairahan mereka tersentap apabila melihat banyak gambar bersaiz besar ditampal pada batu peringatan yang menunjukkan pendaki yang hilang ketika mendaki Gunung Everest.

“Ketika berada di Laboche ke Gorak Shep, kami melihat dan menjerit ke arah seorang pendaki solo dari China yang tersasar dari trek untuk ke Kala Patthar. Nasibnya baik kerana kami sempat memanggilnya. Jika tidak, gambarnya pasti terpapar pada batu-batu peringatan itu,” jelas Mohd. Hafiz.

Pada pukul 10 pagi, 26 Januari lalu, mereka akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kala Patthar. Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk mengambil gambar dan berehat sebelum kembali meneruskan perjalanan menuruni gunung tersebut.

“Bagi pendaki yang ingin mendaki Kala Patthar tanpa penunjuk arah dan pengangkut barang, pastikan anda membuat persediaan yang rapi terutama mental dan fizikal. Banyakkan membaca dan membuat kajian mengenai perjalanan yang harus ditempuhi,” ujar Mohd. Hafiz.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.a ... z2Z2Mc9NPh
Hakcipta terpelihara
_________________
_________________

User avatar
shahrul
Senator Gunung
Posts: 819
Joined: 25 Apr 2011, 08:21
Location: streets of uptown

Re: Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa

Post by shahrul » 15 Jul 2013, 00:18

Image
LATAR belakang Glasier Khumbu di kawasan Everest Base Camp pada hari kelapan ekspedisi pendakian.


Image
MOHD. Hafiz (kiri) dan Raiz sempat bergambar kenangan di Kuil Swayambunath, Kathmandu, sebelum pulang ke tanah air.
_________________
_________________

User avatar
shahrul
Senator Gunung
Posts: 819
Joined: 25 Apr 2011, 08:21
Location: streets of uptown

Re: Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa

Post by shahrul » 15 Jul 2013, 00:19

Disalin tanpa edit dari Kosmo
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.a ... =ho_01.htm

enjoy reading it folks :)
_________________
_________________

Denan
Pendaki Sondol
Posts: 411
Joined: 09 Feb 2011, 14:44
Location: USJ

Re: Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa

Post by Denan » 15 Jul 2013, 08:31

terbaekkk...

User avatar
mizi
Kerabat Gunung
Posts: 1308
Joined: 17 Jul 2006, 15:22
Location: perlis
Contact:

Re: Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa

Post by mizi » 16 Sep 2013, 22:29

Yg ni baru Tegar..Tahniah..salute
climb long trail
p11at

Post Reply