LOG TRANS TITIWANGSA V2 .CNY 2013 part 4 of 8

Menyimpan dan mengemaskini log yang telah diposkan di dalam Gunung Online
Post Reply
azkramm
Pendaki Gunung
Posts: 130
Joined: 09 Jul 2012, 12:09

LOG TRANS TITIWANGSA V2 .CNY 2013 part 4 of 8

Post by azkramm » 28 Jun 2013, 17:35

Hujan.
Kayangan pecah dengan tangisan.
Langit mendung, sehitam duniaku yang hangus dibakar sengketa.
Halilintar bergentayangan, sebentar putih berpancaran, sebentar hilang tanpa bayangan. Sebentar muncul memekak seluruh alam…

Titisan air berguguran, sentuhannya sedingin tubuhku yang kian beku, mengalir sederas darah yang kian pekat membasahi tubuh astral. Luka itu parah, namun aku tidak menghiraukannya.
Aku terus memacu ke hadapan.

Lanskap di sekelilingku seakan petikan dari igauan buruk, sebuah pentas pembunuhan yang penuh dengan kemusnahan saujana mata memandang. Bumi hangus sehitam arang itu terbentang sehingga ke kaki langit seolah-olah tanpa penghujung, sebuah wilayah gersang yang dipenuhi gerigi runtuhan seakan taring gergasi yang tumbuh dari gusi buana. Bangkai sejuta jentera gempur yang telah musnah berselerakan di atas bumi tersumpah itu bagaikan gergasi perang yang kecundang dan diantara hutan konkrit dan keluli itu masih kelihatan api menyala merah, memuntahkan asap hitam yang kian tebal meracuni langit. Dunia itu gerhana tanpa kehidupan dan di dalam lingkungannya yang gersang putus sudah segala harapan.

Wajah-wajah orang yang disayangi muncul silih berganti. Bayangan saka hitam datang seakan memberi amaran. Mengancam untuk terus membelenggu, agar patuh dengan perjanjian…

Aku gelisah. Keluh kesah..

Kemudian..aku terjaga bila kakiku terenjat spontan.…Lah…mimpi rupanya. Aku terkebil-kebil, agak blur sekejap memikirkan mimpi yang baru merasuk fikrah aku tadi.

Terpisat-pisat aku membetulkan sleeping bag membalut tubuh yang kian kaku menahan penangan sejuk beku puncak Kambing. Jam baru pukul 2.00 pagi. Masih awal lagi ni..

Disebabkan puncak Kambing sempit, maka terpaksalah aku berkongsi khemah dengan Ustaz Azrin. Terima Kasih Ustaz Azrin. Osprey Argon aku dah basah kat luar Khemah. Tak ada tanda² geng² cikgu tu dah sampai ke puncak Kambing. Mungkin mereka bermalam di Puncak Gunung Bubu. Aku teka jer... Aku tak boleh bayangkan macam mana mereka menahan dengan cuaca hujan lebat dan sejuk macam ni.

Ini adalah kisah pendakian V2..hari ke-4.

Selasa 12/02/2013
Puncak Kambing - Puncak G.Tok Nenek - Kem Kacang - Puncak Belumut - Bonsai Semak - Kem DGU

Aku memulakan cabaran hari ke-4 dengan perasaan yang agak kesal. Kesakitan kaki kiri yang semakin membengkak, lutut yang semakin rabak dan tapak kaki yang semakin melecet berpunca dari penangan kasut getah memburukkan lagi keadaan. Perasaan macam nak balik rumah je masa ni. Dah tak tahan rasanya..

Jam 7 pagi, cuaca sejuk di puncak Kambing dimeriahkan lagi dengan suara azam yang Nampak ceria mengusik peserta XPDC. Aku tak pasti sama ada azam benar-benar ceria atau sengaja buat-buat ceria untuk menghilangkan stress. Azam dan semua peserta XPDC dah sepakat membuat keputusan untuk menyediakan sarapan di Kem Kacang. Ini untuk menjimatkan bekalan air minum.

Aku teringat kisah semalam betapa ahzabnya mendaki dari kem lopak ke Puncak Kambing. Bayangkan mendaki pakai lutut. Memang ahzab. Tapi bila sampai aje di Puncak Kambing, lega rasanya. Syukur Alhamdulillah selamat sampai.

7.30 pagi : Berbekalkan kurma 2 biji, aku dan geng² xpdc beramai-ramai menuju ke puncak Gunung Tok Nenek yang hanya 15 minit perjalanan. Pemandangan di tok nenek menyaksikan pemandangan 360 ̊. Memang hebat!

Aku begitu teruja menyaksikan pemandangan luar biasa di Puncak Tok Nenek. Begitu hebat!

Kulihat 360 darjah. Pemandangan indah. Sangat indah. Saujana mata memandang. Awan berada di bawah..nun jauh disana. Ya Allah..Sungguh keadaan alam semula jadi senantiasa memberikan ketenangan dan kedamaian kepada diri. Tidak kira walau seremuk mana hati itu dilanda dengan musibah, dihujani dengan ujian. Namun Alam tidak pernah pernah gagal memberikan ketenangan pada diri ini.

Lantaran itu lah, kita pernah mendengar seorang penulis muda mahupun tua akan pergi mencari ilham dengan bertemankan alam. Jika di kota, penuh dengan hiruk pikuk, bunyi hon yang membingitkan telinga, namun setelah mengambil sedikit waktu dengan duduk di tepi biara, melihat pemandangan laut yang indah, pukulan ombak yang mesra lantas ilham pun keluar mencurah-curah.

Pada situasi yang lain, mungkin ada di antara kita yang tidak tahan dengan ke 'panasan' rumahtangga. Lantas, buat seketika waktu, kita cuba menjarakkan hubungan dengan mencari ketenangan. Masuk ke hutan melihat keindahan ciptaan tuhan. Damainya! Hilang segala kekusutan di jiwa. Kita tenang dengan keadaan itu.

Segala kekusutan minda, kesesakan jiwa kita kumpulkan dalam satu keluhan. Lantas kita hembus perlahan... Saat itu, terasa hilang segala bebanan yang memberatkan fikiran. Benarlah, sesungguhnya alam tidak pernah gagal memberikan ketenangan!

Syukur Alhamdulillah..segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Di atas kebesaran, keagungan dan kekuasaanMu ya Allah, tuhan yang maha pemberi Rahmat. Terima Kasih ya Allah, akhirnya di beri Keizinan olehMu untuk aku menjejak kaki ke puncak ini. Syukur…. Syukur Alhamdulillah. Tanpa izinMu apakan daya kami..Ya Allah.

Aku kini berada di Puncak Tok Nenek. Jauhkan lah kami ya Allah dari sifat riak dan takbur. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa tunduk pada perintahMu Ya Allah. Buangkanlah sifat sombong kami ya Allah. Hanya Engkaulah tuhan yang kami sembah dan hanya kepadaMu Ya Allah kami memohon pertolongan..

Aku pejamkan mata sejenak. Air mata belum kering..masih mengalir..kulihat..Di dalam sebuah hutan yang didalamnya ada beberapa air terjun yang mengalir, kedengaran akan bunyi air terjun yang mengalir, bunyi cengkerik yang tersorok di sebalik batu-batu, bunyi buluh yang bergesel sesamanya, bunyi burung yang menyanyi riang di bawah pohonan rimbun...

Semuanya begitu menenangkan. …
Di atas puncak tok nenek ini yang diseliputi oleh awan dan kabus tebal, udaranya sungguh nyaman, cuacanya cukup dingin, kesunyian yang teramat sangat, kedengaran dan terasa kelembutan dingin angin yang bertiup menyapa kelembutan kulit...

Semuanya begitu mendamaikan…
Di tepian pantai yang dihiasi dengan terumbu karang nan indah, di dasar lautan yang jernih bisa dilihat dari permukaan air, kelihatan anak-anak ikan yang beraneka species dan ragam berenangan keriangan di sebalik terumbu karang, deruan angin yang menderu, bunyi ombak yang memukul pantai, juga daun-daun pokok ditepian pantai seolah-olah menari apabila ditiup angin...

Semuanya itu sangat mententeramkan. Banyak lagi pelbagai keindahan alam yang begitu menenangkan jiwa, mendamaikan hati, melapangkan minda, menyejukkan jiwa. Rupa-rupanya baru aku sedar... Segala apa yang ada di langit dan bumi ini senantiasa bertasbih dan memuji ilahi. Cuma aku yang tidak mendengarnya. Seperti jelas dalam firman Allah swt dalam al-Quran :

"Segala yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah); dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (Surah al-Hadid ayat 1)

"Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (Surah al-Hasyr ayat 1)

"Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah as-Saf ayat 1)

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Jumua' ayat 1)

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi MahaPengampun" (Surah al-Isra' ayat 44)

Tetapi bila aku mendengar dan memerhati kepada alam sekeliling, jiwa dan jasad ku berasa tenang. Begitu jualah dengan orang yang lain, sama ada apa anutan sekali agama mereka, pasti dan pasti alam itu memberikan ketenagan dan kedamaian padanya kerana jiwa dan roh itu sentiasa tenang bila mendegar tasbih dan pujian pada ilahi.

Maka seharusnya hati dan lidahku perlu lebih banyak bertasbih dan memuji ilahi supaya bisa menenangkan jiwa, mendamaikan hati, melapangkan minda, juga menyejukkan jiwa. Bila jiwa sudah tenang, maka kembalilah jiwa yang tenang ini kepada penciptaNya..

Al-Fatihah…

Dari maklumat yang disurahkan, bro Sham Castello bersama mat tembakau sedang bersenang-senang di Puncak Kambing. Mereka sedang menunggu geng² cikgu yang belum sampai ke puncak kambing.

Kami bergambar sepuas hati di Puncak Tok Nenek. Dah puas bergambar, kami meneruskan perjalanan turun ke Kem Kacang. Saat ini aku mula trekking solo. Mereka yang pantas dah lama jauh di depan. Tak larat aku nak kejar. Mereka yang masih di belakang dah lama aku tinggalkan. Lambat sangat…so aku ikutlah pace aku sendiri. Tak slow, taklah laju sangat.

Trekking solo dalam hutan belantara ni amatlah tak digalakkan. Macam macam boleh terjadi. Entah mengapa, hujan turun mencurah-curah sepanjang perjalanan ke Kem Kacang. Laluan turun mulai becak dan berlumpur. Kasut getah ku yang baru berusia 3 hari semaking hilang grip. Beberapa kali aku tergelincir kerana trek adalah licin.


10 pagi: akhirnya aku sampai di Kem Kacang. Agak rata di sini. Kawasan lembah agaknya…

Entah mengapa, mungkin disebabkan cabaran demi cabaran yang tak habis-habis membuatkan fikrah aku gagal mempertimbangkan keputusan yang terbaik. Aku jumpa ustaz Azrin, aku cakap aku nak balik. Hahahahaha, bila pikir² balik macam tak munasabah pilihan pada waktu tu. Tapi itulah perasaan yang aku rasa semasa di Kem Kacang. Ustaz Azrin tak menghalang tapi dia minta aku fikir masak-masak sebelum membuat keputusan.

Aku dah nekad dah masa tu, apa nak jadi..jadilah. Menyesal pun ada. Apasal lah aku cari pasal pergi ikut trip hardcore ni..Aku jumpa azam dan beritahu aku nak balik ikut Sham Castello dan Geng² Cikgu tu..dari maklumat yang aku dengar, Geng² cikgu tu tak larat nak teruskan xpdc v2 ni, jadi mereka akan terus pancung dari tok nenek ke trek buluh, lepas tu terus balik.

Nasib baik uncle datang dan pujuk aku. Dia cakap, bawa bertenang..”kalau kau nak balik, kau kena naik balik ke puncak tok nenek tu. Bahaya jalan sorang²”. Harimau ada ..

Oklah..terus tak jadi aku nak balik. Aku teguhkan hati dan teruskan XPDC v2 ni.

Lepas sarapan ala kadar.. ( Kutiaw Goreng : 1 bwg besar, 3 bwg putih, 3 sudu serbuk cili, 2 kiub ayam, tiram, kicap, sos ABC, sikit air + 2 telor), kami angkat sauh menuju kem DGU. Lunch pack tapaw aje..Nasi putih campur sambal ikan bilis.

Hujan agak lebat ketika kami bergerak dari kem kacang ke Puncak Belumut. Sorang demi sorang memotong aku dengan perlahan. Nafas aku dan mula terbiasa dengan iklim suhu pergunungan G7 ni. Tak lama selepas itu, aku kembali trekking solo.

Sampai satu tempat yang aku percayai sebagai Puncak Bonsai Semak, aku berhenti rehat. Aku terduduk..lutut rasa sakit sangat. Luka ditusuk duri semakin merebak. Aku bukak lunch pack. Serius aku beritau ni..memang sedap gile nasi putih ni. Walaupun berlaukkan sambal ikan bilis bersama nasi putih berketul-ketul, aku telan dengan penuh rasa nikmat dan syukur. Tetiba hirwan, hanny, dan Pokli muncul. Kami makan bersama. Hirwan bukak satu paket MRE dipercayai kari daging Brahims. Perghhhh!!! Terbaik. Kami kongsi makan sama-sama.

Lepas makan dalam 10 minit, aku minta izin untuk gerak dulu. Fadzly tgk cara dan corak kaki aku trekking, dia boleh baca lutut aku ada masalah. Memang sakit sangat. Nasib baik dia offer bagi 2 biji pain killer.

Perghhh! 10 minit lepas dapat pain killer, mmg ajaib pil ni. Hilang rasa sakit! Aku kembali menemui rentak. Laju semacam.

Sampai satu port yang menurun dan curam, aku tgk ramai yang terkial-kial menuruni bukit. Trek dah hancur macam kena bajak. Kena bajak dengan grup depan le ni.

So aku terpaksalah guna secret weapon. Steal harpoon. Pakai dan ikat kat kasut getah. Mmg power benda ni. Setakat trek nuang tu selamba je melekat kat lereng². Mmg grip gile. Sesuai utk trek yang licin dan berlumpur. Aku dengan tenang dan selambanya bukak trek baru di sebelah trek asal. Habis empat lima orang aku potong.

Hahahaha…berlagak jap..

Akhirnya sampai kat DGU jam 5.00 petang. Best lah..takyah OT. Otak aku agak tenang masa ni…Akhirnya dalam kebasahan dan kesejukan,.. Alhamdulillah hari ni tak perlu OT.

Kem DGU (bermaksud Don't Give Up atau Dah Give Up... boleh pilih mana suka mengikut situasi masing-masing), campsitenya agak besar dan ada sungai di sini. Selepas membersihkan diri di anak sungai dan makan malam, aku tidur dalam khemah bersama Pokli... Walaupun tidur dalam khemah, tapi disebabkan hujan sepanjang malam, kami tidur dalam keadaan lembab, sleeping bag pun basah…

Makan malam Dinner – Nasi + kari sardin + kobis goring cendawan hitam
(1 bwg besar, 3 bwg putih, rempah kari, 2 santan + air = 3 bungkus sardin

Denan
Pendaki Sondol
Posts: 411
Joined: 09 Feb 2011, 14:44
Location: USJ

Re: LOG TRANS TITIWANGSA V2 .CNY 2013 part 4 of 8

Post by Denan » 02 Jul 2013, 09:19

Steal harpoon...? mcmana rupa dia ye... ada gambo?

azkramm
Pendaki Gunung
Posts: 130
Joined: 09 Jul 2012, 12:09

Re: LOG TRANS TITIWANGSA V2 .CNY 2013 part 4 of 8

Post by azkramm » 02 Jul 2013, 13:45

Steal harpoon...? mcmana rupa dia ye... ada gambo?
boleh refer kat link ni

http://www.mudah.my/Steel+Crampon+with+ ... 029766.htm

so far, puas hati lah pakai benda ni. murah aje. Steel Crampon with Adjustable Rubber Strap

Denan
Pendaki Sondol
Posts: 411
Joined: 09 Feb 2011, 14:44
Location: USJ

Re: LOG TRANS TITIWANGSA V2 .CNY 2013 part 4 of 8

Post by Denan » 03 Jul 2013, 09:30

Oooo... ni kat nuang mmg sesuai sangat

User avatar
bocharedahhutan
Pendaki Gunung
Posts: 3
Joined: 25 Aug 2010, 21:38
Location: bumi
Contact:

Re: LOG TRANS TITIWANGSA V2 .CNY 2013 part 4 of 8

Post by bocharedahhutan » 03 Jul 2013, 15:07

pehhh nmpk tajam bleh buka tin sardin + longan.... kt gunung hitam sesuai x nie sbb x penah sampai lg tp dlm blog kata trek licin...

Post Reply