Bett - Chamah – Ulu Sepat (17.4.2004 - 25.4.2004)

Menyimpan dan mengemaskini log yang telah diposkan di dalam Gunung Online
Post Reply
User avatar
JeNaL
Pentadbiran
Posts: 1758
Joined: 27 Mar 2007, 16:07
Location: sri kembangan
Contact:

Bett - Chamah – Ulu Sepat (17.4.2004 - 25.4.2004)

Post by JeNaL » 18 Nov 2012, 14:32

Ekspedisi Chamah – Ulu Sepat
17 April – 25 April 2004
Komuniti Rekreasi Melayu.com

Baru-baru ini, Komuniti Rekreasi Melayu.com (RMDC) telah membuat satu ekspedisi ke Gunung Chamah – Ulu Sepat yang terletak di sempadan Perak – Kelantan. Ahli ekspedisi yang terdiri dari 9 lelaki dan 2 perempuan ini adalah terdiri daripada ahli-ahli Forum Sembang-sembang di laman web Melayu.com.

Hari Pertama – 17 April 2004

Setelah melakukan perancangan dan latihan hampir 3 bulan, akhirnya hari yang ditunggu-tunggu sudah pun tiba. Masing-masing kelihatan tidak sabar-sabar untuk menaiki bas. Kami berkumpul di Puduraya terlebih dahulu. Dari sini bas bertolak ke Ipoh. Sampai di Ipoh kami terus mengambil bas ke Sungai Siput di mana Ah Hee (pemandu Hilux) sedang menunggu. Dari Sungai Siput kami menaiki 2 buah Hilux menuju ke Kampung Lasah. Kami bermalam di sebuah surau.

Hari Kedua – 18 April 2004

Kami bangun seawal jam 3 pagi kerana perjalanan untuk ke Kampung Lerlar mengambil masa lebih kurang 3 jam. Perjalanan menaiki 2 buah Hilux ini memang sungguh tidak selesa. Kami terpaksa melalui trek balak yang berbukit-bukau serta mempunyai permukaan jalan yang tidak rata. Masing-masing mencari posisi yang terbaik untuk duduk di belakang Hilux ini. Walaupun agak kurang selesa, kami berjaya juga melelapkan mata.

Kami sampai di Kampung Lerlar pada pukul 7 pagi. Di sini kami akan memulakan ekspedisi kami. Guide juga akan diambil di sini iaitu Adi dan Dollah. Kedua-duanya ialah penduduk asli suku Temiar. Selepas berkenalan dengan guide, kami pun menyampaikan sumbangan pakaian terpakai kepada penduduk asli Kampung Lerlar.

Selepas bersarapan nasi himpit dan rendang, kami memulakan perjalanan pada pukul 9.15 pagi. Trek yang agak mendatar pada awalnya mula menjadi semakin tinggi dan tinggi. Memang terasa kepayahan mendaki. Mungkin kerana ekspedisi masih lagi di hari pertama dan badan pula belum serasi dengan bebanan beg dan juga keletihan terlampau. Hujan pula turun renyai-renyai menyambut kedatangan kami. Alah bisa, tegal biasa bak kata pepatah.

Kami berhenti di Kem Relik untuk makan tengah hari. Ketika ini jam menunjuk hampir pukul 2 petang. Menu kami ialah nasi himpit dan juga serunding. Selepas berehat seketika kami pun meneruskan perjalanan ke kem pertama kami iaitu Kem Agas. Kami sampai di Kem Agas pada pukul 4 petang. Cuaca agak mendung dengan hujan renyai-renyai. Kami membersihkan diri dan mengambil air di satu punca air kecil yang terletak jauh di bawah batu. Kami tidur selepas makan malam dan agak awal iaitu pada pukul 9 malam. Esok kerja keras beb!!

Hari Ketiga – 19 April 2004

Perjalanan pada hari ini ialah dari Kem Agas ke Kem Peres. Kami memulakan perjalanan pada pukul 9 pagi. Hari ini perjalanan boleh dikatakan agak jauh kerana kami perlu sampai di Kem Peres. Destinasi pertama kami pada hari ini ialah Puncak Beyor/Puncak View. Namun malang tidak berbau kerana tidak sampai 20 minit, beberapa orang dari ahli ekspedisi telah digigit penyengat. Saudari Chimm yang paling teruk di mana dia terkena sengat sampai 5 kali. Selepas berhenti sebentar untuk merawat mereka yang disengat, kami pun meneruskan pendakian ke Puncak View.

Di Puncak View pula, saudara Lipan telah mengalami kegatalan di seluruh badan kerana dia alah kepada bisa penyengat. Namun kami bernasib baik kerana saudari Chimm yang juga turut disengat tadi ialah seorang jururawat. Dia telah memberi ubat kepada saudara Lipan untuk menghilangkan kegatalan di badan beliau. Dari Puncak View, kita boleh melihat pemandangan puncak Ulu Sepat dan juga puncak Chamah. Terasa tidak percaya kerana terlihat begitu jauh banjaran yang terpaksa dilalui untuk sampai kedua-dua puncak yang menjadi idaman setiap pendaki gunung di Malaysia ini.

Dari Puncak View, kami turun ke Kem Chenderik untuk makan tengah hari kerana di sini terdapat sebatang sungai. Perjalanan menurun hanya mengambil masa setengah jam sahaja. Kami sampai pada pukul 12.30 tengah hari. Disebabkan jumlah agas yang begitu banyak, kami tidak berada lama di sini. Kami meneruskan perjalanan ke Sempadan Perak – Kelantan. Di sempadan, kami meninggalkan barang-barang yang tidak perlu dan juga makanan yang akan dimasak di Puncak Ulu Sepat nanti. Sekurang-kurangnya ini dapat meringankan beg kami sebelum sampai di Puncak Chamah. Dengan bantuan guide, kami menggantungkan beg plastik tersebut di sebatang pokok untuk mengelakkan dari binatang buas.

Perjalanan seterusnya tidak begitu sukar kerana banyak menurun. Namun ramai di kalangan ahli ekspedisi yang jatuh tergelincir. Kami berhenti berehat di Kem Maggi pada pukul 3.30 petang. Dari sini kami akan meneruskan perjalanan ke Kem Peres iaitu kem kami pada malam ini. Namun malang sekali lagi menimpa kami di mana saudara Lofier telah dipatuk ular. Tetapi tidak dapat dipastikan ular jenis apa kerana perkara itu berlaku sepantas kilat. Suasana menjadi sedikit panik dan kelam-kabut namun berjaya ditenangkan oleh Ketua Ekspedisi yang comel iaitu saudara Betterman. Jururawat Chimm mengambil alih tugas untuk melakukan pembedahan kecil dan rakan-rakan yang lain menekan-nekan betis bagi membuang bisa-bisa ular di kaki saudara Lofier. Di sini kami telah mendapat pengajaran bahawa di masa akan datang, kami perlu membeli alat untuk menyedut bisa ular yang terdapat di pasaran. Adalah dilarang sama sekali untuk menyedut bisa ular menggunakan mulut seperti yang selalu ditonton dalam filem Hindustan kerana dikhuatiri bisa itu akan masuk ke dalam badan kita.

Hampir sejam juga kami di sini. Selepas mengagihkan barang-barang Lofier kepada ahli-ahli ekspedisi yang lain, kami meneruskan perjalanan dengan sangat berhati-hati. Semua ahli kelihatan asyik memandang ke kiri dan ke kanan sebelum melangkah. Trek masih lagi menurun dan ini memudahkan sedikit perjalanan. Kami sampai di Kem Peres pada pukul 6 petang. Kem Peres ini agak luas dan mempunyai sungai yang besar. Selepas memasang flysheet dan membersihkan badan , kami pun mula memasak untuk makan malam. Jururawat Chimm memberi rawatan susulan kepada Lofier manakala saudara Lipan pula telah demam akibat gigitan penyengat tadi. Selepas makan malam, kami terus menyambung memasak nasi lemak untuk sarapan pagi esok. Menjelang tengah malam, semua ahli masuk tidur.


Hari Keempat – 20 April 2004

Perjalanan pada hari ini ialah dari Kem Peres ke Kem Tongkat Ali. Pada pagi ini lebah begitu banyak. Beberapa orang telah kena sengat namun tidak begitu membimbangkan. Saudara Lofier pula kelihatan telah sembuh sepenuhnya. Kami bergerak meninggalkan Kem Peres pada pukul 11 pagi menuju ke Kem Rekom. Perjalanan trek memang mendatar tetapi ditutupi oleh pokok-pokok resam dan juga duri-duri. Guide Adi terpaksa berhenti beberapa kali untuk menebas semak-samun. Trek ini pada asalnya ialah sebuah trek balak lama yang telah ditinggalkan. Perjalanan menjadi begitu bahaya kerana terdapat lubang-lubang besar yang dalam hasil dari runtuhan tanah di sepanjang trek.

Kami sampai di Rekom pada pukul 1 tengah hari. Panggilan Sungai Rekom begitu mengasyikkan sehingga kami semua mengambil peluang untuk bermandi-manda dahulu sebelum makan tengah hari. Setelah puas mandi, kami menuju ke Kampung Rekom. Tetapi apabila sampai di Kampung Rekom, suasana begitu sunyi sekali, tiada berpenghuni. Guide Adi membuat andaian bahawa penduduk kampung ini berkemungkinan pergi ke Pos Lepoh di Gua Musang, barang kali ada keramaian di sana.

Dari Kampung Rekom, perjalanan banyak menyusuri tebing sungai. Sesuatu yang tidak disangka apabila kami terjumpa dengan bunga pakma (Rafflesia) yang sedang kembang mekar. Subhanallah, sungguh indah ciptaan Tuhan. Kebanyakan ahli ekspedisi yang pertama kali melihat bunga ini kelihatan berebut-rebut untuk mengabadikan kenangan bersama kamera. Perjalanan diteruskan dengan melalui Kem Bunga Pakma dan Kem Tengah.

Kami sampai di Kem Tongkat Ali pada pukul 5 petang. Alhamdulillah kami sampai lebih awal dari yang dijangkakan. Satu tanda untuk mengetahui bahawa kita sudah hampir dengan Kem Tongkat Ali ialah kita akan bertemu dengan sebatang pokok sarsi di sebelah kiri dan bunyi sungai yang semakin kuat. Kem Tongkat Ali mendapat nama kerana suatu masa dahulu memang banyak terdapat pokok tongkat ali disekitar kawasan ini.

Pada malam ini cuaca amat elok jadi selepas makan malam kami mengambil kesempatan untuk melakukan sessi urut-mengurut. Guide Dollah juga mengadu sakit belakang jadi beliau telah diurut oleh tukang urut ekspedisi iaitu Peyus. Kami semua tidur menjelang pukul 12 malam.


Hari Kelima – 21 April 2004

Perjalanan hari ini ialah dari Kem Tongkat Ali ke Puncak Chamah. Pagi ini kami bersarapan bihun sup. Ketika kami sedang bersiap-siap Guide Adi memberitahu bahawa Guide Dollah telah hilang. Kami semua merasa amat terkejut dan memulakan pencarian di sekitar kawasan sungai dan bukit berdekatan. Hampir 2 jam kami mencari namun kelibat Guide Dollah masih belum ditemui. Guide Adi membuat jangkaan bahawa Guide Dollah telah pulang ke kampung tanpa membawa bersama barang-barang beliau. Selepas berbincang bersama guide, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan kami ke puncak Chamah dengan didahului oleh Budin yang mana ekspedisi kali ini merupakan yang kali ketiga buat beliau.

Pendakian kali ini memang begitu azab. Kami terpaksa mendaki ketinggian dalam 70 darjah selama hampir 2 jam sebelum sampai di puncak pertama pada pukul 2 petang. Kami berhenti untuk makan tengah hari di sini. Perjalanan seterusnya agak mudah kerana kami hanya bermain di permatang sahaja. Pukul 5 petang kami singgah di punca air terakhir sebelum sampai di puncak Chamah. Punca air tersebut agak jauh ke bawah dan airnya pula berwarna kekuningan. Tapi itu semua sudah tidak menjadi masalah jika berada di dalam hutan belantara ini. Dari sini kami mendaki sambil menikmati keindahan lumut-lumut yang begitu cantik dan menakjubkan. Akhirnya pada pukul 6.30 petang kami semua berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Chamah. Ketua ekspedisi iaitu saudara Betterman pula telah berjaya menghabiskan G7 beliau yang pertama. Untuk pengetahuan para pembaca, G7 ialah gelaran untuk 7 buah gunung yang melebihi ketinggian 7000 kaki di Semenanjung Malaysia yang mana memang menjadi impian setiap pendaki gunung yang serius bergiat di dalam bidang ini.

Kami sempat menikmati keindahan suasana matahari terbenam di puncak Chamah sebelum menyediakan makan malam. Kami semua merasa puas kerana telah berjaya menawan Gunung Chamah. Maka tinggal lagi 2 hari sebelum kami menawan Gunung Ulu Sepat pula. Kami menikmati suasana malam yang cerah di depan unggun api sambil bercerita tentang pengalaman masing-masing. Malam ini kami tidur dalam keadaan kesejukan.

Hari Keenam – 22 April 2004

Kami bangun awal kerana masing-masing tidak sabar untuk melihat panorama matahari terbit. Pemandangannya begitu mengagumkan dan saujana mata memandang. Kami dapat melihat Gunung Ulu Sepat nun jauh di seberang sana. Kelihatan juga gunung-gunung lain yang merupakan tulang belakang Banjaran Titiwangsa seperti Gunung Korbu, Gunung Gayung, Gunung Yong Belar dan Gunung Yong Yap. Kami juga dapat melihat Gunung Tahan begitu jauh sekali (mengikut kata Guide Adi). Selepas bergambar dan bersarapan pagi, kami pun bersiap-siap untuk turun. Perjalanan hari ini ialah dari Puncak Chamah ke Kem Peres sekali lagi. Perjalanan turun kali ini tidak begitu sukar. Masing-masing berjalan tanpa henti. Kami makan tengah hari di Kem Tongkat Ali. Di sini, kami meneruskan pencarian Guide Dollah namun sekali lagi kami hampa.

Kami sampai di Sungai Rekom pada pukul 4.30 petang. Kami berehat sebentar dan bermandi-manda sebelum meneruskan perjalanan kami ke Kem Peres. Kebanyakan dari kami sudah mula hilang sabar kerana masih belum sampai-sampai lagi. Habis segala benda dilanggar kerana badan sudah begitu penat dan mental pun sudah hampir tidak boleh dikawal lagi. Akhirnya pada pukul 7 malam kami selamat sampai di Kem Peres dengan perasaan yang begitu puas kerana perjalanan hari ini memang jauh.





Hari Ketujuh – 23 April 2004

Perjalanan hari ini memang sangat jauh iaitu dari Kem Peres ke Puncak Ulu Sepat. Seperti 3 hari sebelumnya, masih terdapat banyak lebah di sini. Penulis dan beberapa orang rakan yang lain terkena sengatan lebah namun tidak begitu memudaratkan. Kami bergerak meninggalkan Kem Peres pada pukul 10 pagi. Kami masih akan melalui trek yang sama seperti mana kami datang beberapa hari yang lepas sehingga lah ke Sempadan. Cuma yang berbezanya ialah pergerakan kami pada kali ini ialah secara mendaki.

Kami sampai di Sempadan pada pukul 12.30 tengah hari. Selepas makan tengah hari dan membahagikan semula barang-barang yang ditinggalkan di sini, kami meneruskan perjalanan ke Puncak Ulu Sepat. Sedikit informasi untuk pembaca. Sempadan ini ialah merupakan simpang untuk ke Chamah dan Ulu Sepat. Untuk ke Ulu Sepat, kami perlu mengambil trek yang berada di sebelah kiri.

Kami meninggalkan Sempadan pada pukul 1.30 tengah hari. Trek agak berlumpur dan sepanjang perjalanan, kami banyak berjumpa dengan tapak-tapak gajah dan tenuk. Perjalanan menjadi semakin sukar kerana trek yang licin dan berselut serta dikelirukan dengan trek sang gajah. Kami berjalan tanpa henti dan pada pukul 4.30 petang, kami semua sampai di puncak air terakhir iaitu di Sungai Retak. Ketika sampai di sini, hujan sudah mula turun dan semakin lebat. Kami tidak menunggu lama kerana keadaan yang semakin sejuk.

Pendakian menjadi sukar kerana trek yang mencanak dan licin serta hujan lebat yang menambahkan lumpur. Bebanan pula bertambah berat kerana masing-masing membawa 2 botol air 1.5 liter. Tapi itu semua sudah tidak menjadi halangan kerana di dalam kepala masing-masing hanya ingin cepat sampai ke Puncak Ulu Sepat. Kami semua berjalan tanpa henti walaupun kadang-kala kaki terperosok ke dalam lumpur yang boleh mencapai kedalaman sehingga pangkal paha!! Sepanjang perjalanan ke puncak Ulu Sepat ini kami bertemu dengan satu fenomena yang agak misteri iaitu tapak kaki manusia berkaki ayam yang besar dan menjadikannya semakin pelik ialah hanya sebelah sahaja yang ditemui iaitu sebelah kiri. Terdapat jugak saiz tapak kaki yang agak kecil. Semua ini jika difikirkan memang meremangkan bulu roma tetapi kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga iaitu tidak bermulut celupar.

Akhirnya kami semua selamat menjejakkan kaki di puncak Ulu Sepat dengan orang terakhir sampai pada pukul 7.30 malam. Keadaan sangat berkabus dan hujan renyai-renyai menambahkan lagi kesejukan. Selepas bertukar pakaian kering kami duduk beramai-ramai di bawah flysheet sementara menunggu hujan berhenti. Kami makan malam agak lewat iaitu pada pukul 11.30 malam. Cuaca yang begitu sejuk membataskan pergerakan kami semua dan aktiviti yang paling mampu dilakukan pada waktu ini ialah tidur.








Hari Kelapan – 24 April 2004

Pagi ini kami semua bangun dalam keadaan sungguh berpuas hati kerana telah berjaya tidur di puncak Ulu Sepat. 3 orang daripada kami iaitu Chimm, Pisha dan Jimi telah berjaya menamatkan G7 buat kali yang pertama manakala Budin pula telah menamatkan buat kali yang ketiga. Pemandangan sekitar juga hampir sama seperti di puncak Chamah. Kami boleh melihat banjaran-banjaran gunung yang tersergam indah termasuklah Gunung Gerah. Setelah selesai bergambar dan berkemas, kami bergerak meninggalkan Ulu Sepat pada pukul 1 tengah hari. Hati masing-masing sudah tidak sabar untuk pulang ke Kuala Lumpur. Trek yang pada awalnya menurun kini sudah semakin landai. Kami berjalan tanpa henti dan akhirnya pada pukul 6 petang kami tiba di kebun getah. Selepas bermandi-manda di sungai berdekatan, kami pun bergerak menuju ke simpang di mana tempat Hilux menunggu. Tetapi disebabkan sedikit salah faham, Ah Hee telah pulang awal kerana menyangkakan kami akan sampai di situ pada pukul 3 petang. Kami membuat keputusan untuk bermalam di sebuah rumah kosong di Kampung Lerlar. Malam ini kami semua merasa bersyukur dan gembira kerana telah selamat sampai dan kami dapat berehat sepuas-puas hati.

Hari Kesembilan – 25 April 2004

Suasana waktu pagi di Kampung Lerlar ini sungguh nyaman. Suara ayam berkokok menggamit keheningan pagi. Hilux Ah Hee sampai pada pukul 10 pagi. Kami meninggalkan Kampung Lerlar bersama seribu kenangan manis dan dengan seribu pertanyaan, ke mana kah hilangnya Guide Dollah? Sampai di Lasah, kami ke surau berdekatan untuk membersihkan diri. Dari sini kami mengambil bas ke Sungai Siput dan seterusnya ke Ipoh. Akhirnya, kami meninggalkan Stesen Bas Medan Kidd pada pukul 8 malam menuju ke Kuala Lumpur. Di wajah masing-masing tergambar satu perasaan yang begitu puas dan tidak dapat digambarkan dengan kata - kata, hanya pengalaman yang menjadi penentu. Sekian.

P/S : Misteri kehilangan Guide Dollah telah terungkai . Kami mendapat berita dari sahabat kami yang pergi ke Chamah – Ulu Sepat pada minggu berikutnya bahawa beliau telah balik ke kampung tanpa memberitahu kami dan tanpa membawa apa-apa barangan milik beliau. Sebab musababnya, hanya dia dan Allah yang mengetahui.
--· ··- -· ··- -· --· --- -· ·-·· ·· -· ·
W a r i s a n K h a z a n a h P e r g u n u n g a n
·--- · -· ·- ·-··
Pentadbir GunungOnline
9W2WZL
http://jenal.multiply.com

Post Reply