Bett - GUNUNG BENUM (29.4.2005-2.5.2005)

Menyimpan dan mengemaskini log yang telah diposkan di dalam Gunung Online
Post Reply
User avatar
JeNaL
Pentadbiran
Posts: 1758
Joined: 27 Mar 2007, 16:07
Location: sri kembangan
Contact:

Bett - GUNUNG BENUM (29.4.2005-2.5.2005)

Post by JeNaL » 18 Nov 2012, 14:31

EKSPEDISI GUNUNG BENUM
29 APRIL – 2 MEI 2005

Bersempena dengan cuti Hari Pekerja baru-baru ini, sekumpulan pendaki yang bernaung di bawah bendera KembaraHutanGunung (KHG) telah membuat satu ekspedisi ke Gunung Benum yang terletak di Daerah Raub, Pahang. Ahli-ahli ekspedisi terdiri daripada 7 orang perempuan dan 12 orang lelaki. Kami menggunakan khidmat guide 2 orang sahabat kami yang pernah ke Gunung Benum pada tahun 2003. Terdapat 3 trek untuk sampai ke Gunung Benum di mana 2 trek adalah melalui Lata Berembun dan 1 trek lagi dari Kg Ulu Cheka, Jerantut. Kami mendaki dari Lata Berembun dan memilih trek OGKL.

Hari Pertama – 29 April 2005
Jam 9 malam kami semua berkumpul di sebuah kedai makan berhampiran dengan Stesen Putra Taman Melati. Setelah semua ahli ekspedisi sampai, pada pukul 11 malam kami pun bergerak secara konvoi menaiki 4 buah kereta dan sebuah van. Destinasi kami ialah Felda Lembah Klau, Raub. Kami tiba di surau Felda Lembah Klau pada pukul 1 pagi. Pendaki lelaki akan tidur di dalam surau manakala pendaki perempuan pula menumpang tidur di rumah pemandu 4WD iaitu Abang Yan. Kami semua tidur awal kerana esok kami semua akan bekerja keras.

Hari Kedua – 30 April 2005
Kami pendaki lelaki telah terjaga agak awal dengan kedatangan Tok Bilal surau. Setelah membersihkan diri, kami pun menunggu masuknya waktu Subuh dan berjemaah bersama-sama dengan penduduk kampung. Apabila selesai membuat segala persiapan, kami pun bergerak menuju ke rumah Abang Yan yang terletak berhampiran dengan surau. Kelihatan pendaki-pendaki perempuan sedang membuat persiapan terakhir sambil membantu menghidangkan sarapan pagi iaitu nasi lemak dan kuih-muih yang disediakan oleh Abang Yan.

Kami bergerak meninggalkan Felda Lembah Klau pada pukul 8.30 pagi dengan menaiki 2 buah 4WD. Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan banjaran gunung dan juga dusun buah-buahan seperti pisang dan durian serta ladang-ladang koko, getah dan juga kelapa sawit. Sumber utama ekonomi di sini ialah pertanian yang mana rata-rata penduduknya terdiri daripada bangsa Cina.

Jalan tanah merah yang dilalui agak berbukit-bukit dan berlubang-lubang menyukarkan perjalanan kami. Ada satu masa di mana salah sebuah 4WD telah tersangkut di dalam lubang ketika sedang mendaki bukit dan mengundur dengan sendirinya. Kedengaran suara jeritan ketakutan tetapi dengan kecekapan pemandu, 4WD berjaya distabilkan semula. Setelah lebih kurang sejam kami ‘melompat-lompat’ di dalam 4WD, kami sampai di sebuah jambatan di mana di sini lah hentian terakhir buat 4WD tetapi merupakan hentian permulaan bagi kami. Kami bergerak menuju ke Lata Berembun yang terletak 5 minit dari sini.

Apabila sampai di Lata Berembun, masing-masing terpegun dengan kecantikan air terjunnya. Air yang turun dengan derasnya dari atas kelihatan seolah-olah mahu memberitahu kami tentang kesukaran dan kepayahan yang akan kami tempuhi nanti. Sebuah kolam besar yang gelap airnya kerana faktor kedalaman juga menarik perhatian kami semua untuk mandi tetapi hasrat itu terpaksa dipendamkan dahulu kerana kami mempunyai tugas yang lebih penting iaitu untuk menawan Puncak Benum. Di sini terdapat 3 pondok terbuka dan juga sebuah tandas awam. Namun persekitarannya agak kotor dan tidak terjaga. Keadaan jalan yang dibina dengan tidak sempurna adalah merupakan faktor terpenting kenapa Lata Berembun jarang dikunjungi oleh pelancong. Harapan kami supaya kerajaan negeri Pahang boleh membuat sesuatu kerana adalah satu kerugian kerana Lata Berembun merupakan sebuah air terjun yang cantik dan boleh menjadi perhatian pelancong.

Ekspedisi bermula pada pukul 10 pagi dengan diiringi oleh bacaan doa. Kami terpaksa melintas sebuah sungai kecil tetapi deras airnya untuk ke trek di seberang sungai. Walaupun sudah berhati-hati dan berwaspada memijak batuan yang licin, masih ada 2 orang insan malang yang terjatuh ke dalam sungai dan basah kuyup. Nasib menyebelahi mereka kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Setelah semua selamat melintas, trek seterusnya ialah melalui lereng-lereng dan tebing sungai. Ketika ini sungai berada di sebelah kiri kami. Perjalanan yang berbukit-bukit tidak begitu dirasakan kerana kami semua asyik memerhatikan keindahan kolam-kolam air terjun yang begitu menggiurkan hati untuk bermandi-manda. Kemudian kami melintas sebuah sungai besar dan berhenti berehat di seberangnya bagi melepaskan lelah setelah hampir sejam kami berjalan.

Perjalanan disambung kembali di mana kali ini sungai besar berada di sebelah kanan kami pula. Bentuk muka buminya pula agak mendatar tetapi dipenuhi oleh semak-samun dan boleh dikatakan hampir tiada trek. Kami hanya berpandukan tanda lama iaitu 3 takik di batang pokok. Ada kalanya tanda takik juga tidak kelihatan kerana sudah disaluti oleh tumbuhan menjalar. Kami kehilangan arah buat seketika. Perasaan risau dan hampa mula bermain-main di dalam kepala. Saudara Epul merangkap guide kami dan beberapa orang yang lain telah berusaha untuk mencari trek yang sebenar.

Rupa-rupanya kami terlepas satu simpang ke sebelah kiri yang tanda takik pada pokoknya sudah tidak jelas kelihatan. Pasukan menebas yang terdiri daripada Epul, Budin, Lan dan Zizi juga membuat 3 tanda takik baru pada batang pokok agar kami tidak terlepas arah lagi dan untuk kegunaan para pendaki di masa akan datang. Terpancar kelegaan di wajah masing-masing kerana kami telah menjumpai trek yang sebetulnya. Trek semakin lama semakin mencanak dan ditambah pula dengan keadaan trek yang semak-samun dan dipenuhi dengan duri-duri rotan menyebabkan perjalanan tidak begitu lancar. Suara kawan-kawan yang tadinya bising kini sudah tidak kedengaran. Hanya bunyi unggas rimba menjadi pengganti diselang-selikan dengan suara melepaskan lelah.

Setelah beberapa ketika kami mendaki, trek tiba-tiba menjadi semakin menurun. Setelah menurun hampir 15 minit, sekali lagi kami kehilangan arah. Guide Epul dan Budin kembali beraksi dengan parang masing-masing untuk mencari trek asal. Kami sebenarnya telah tersasar dari trek di mana kami mengambil simpang ke kiri sedangkan kami sepatutnya berjalan terus. Ini adalah kerana trek yang sepatutnya kami lalui sudah agak bersemak dan hampir tertutup. Disebabkan waktu sudah menunjukkan pukul 1.30 petang, kami semua sepakat untuk makan tengah hari di sini. Menu roti Gardenia dan daging burger serta nasi himpit dicicah serunding menjadi hidangan kami.

Kemudian, kami berpatah-balik ke simpang dan meneruskan perjalanan mendaki Bukit Panjang. Kami menggelarnya Bukit Panjang kerana kami sentiasa mendaki tanpa henti-henti tanpa belas kasihan. Pasukan menebas pula sentiasa bertungkus-lumus menebas duri-duri dan semak-samun bagi memudahkan perjalanan. Pokok-pokok tumbang juga menyulitkan lagi keadaan ini. Tetapi alhamdulillah kami semua masih berjaya mengekalkan tahap kecergasan tanpa banyak masalah walaupun kedengaran suara-suara keluhan dari wajah-wajah yang kepenatan.

Kami sampai di punca air terakhir sekitar pukul 3.30 petang. Kedudukan punca air tidak berapa jauh ke bawah dan boleh dilihat dari atas. Aliran airnya pula berada di bawah batu yang agak besar dan terjojol keluar jadi kami terpaksa membongkok untuk mengisi air. Di sini kami mengambil peluang untuk berehat dan menunaikan solat.

Pendakian Bukit Panjang diteruskan pada pukul 5 petang. Kali ini dengan muatan beg yang sudah bertambah pasti menyukarkan lagi pendakian. Kami terpaksa membawa bekalan air untuk 2 hari kerana selepas ini tiada lagi sumber air yang boleh didapati kecuali hujan. Masih ada lagi beberapa pokok tumbang dan pasukan menebas telah melakukan tugas dengan penuh kepakaran. Terima kasih buat mereka!! Setelah lebih kurang sejam kami mendaki, akhirnya kami sampai di satu kawasan permatang di mana ekosistemnya sudah mula berubah. Lumut-lumut yang menghijau dan pokok-pokok renek mula menjadi santapan mata kami. Walaupun kami masih perlu mendaki tetapi ia tidaklah seteruk semasa mendaki di Bukit Panjang tadi.

Akhirnya kami semua selamat sampai ke destinasi kami untuk hari pertama iaitu Kem Bulat menjelang waktu Maghrib. Kem Bulat ini sebenarnya merupakan sebuah puncak yang sederhana besar dan agak rata serta boleh memuatkan 30 orang pada satu-satu masa. Puncak ini dinamakan Kem Bulat oleh Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) bersempena nama salah seorang ahli mereka yang bernama Bulat. Mungkin ada kisah di sebaliknya.

Kami memasang 3 buah flysheet yang mana 2 untuk lelaki dan 1 untuk perempuan. Kem Bulat dikelilingi oleh pokok-pokok yang sederhana tinggi dan ini membuatkan kami dilindungi dari digigit kesejukan oleh angin yang mendatang. Pada malam ini kami memasak sambil dihiburkan oleh radio kecil kepunyaan Nowa yang menyiarkan rancangan Anugerah Industri Muzik 2005 yang dipancarkan secara langsung oleh Radio ERA. Sekurang-kurangnya dapatlah juga kami menghiburkan diri mendengar celoteh pengacara AIM yang kelakar dan mencuit hati setelah kami penat berjuang pada siang harinya. Menu kami pada malam ini ialah ayam masak merah, sup suhun, ikan masin dan jugak cencaluk. Setelah selesai makan malam dan mengemas kawasan perkhemahan, kami pun masuk tidur.

Hari Ketiga – 1 Mei 2005
Selamat Hari Pekerja!! Walaupun hari ini ialah Cuti Am tetapi tidak bagi kami kerana kami akan bekerja keras untuk ke Puncak Benum. Selesai bersarapan nasi goreng, pada jam 10.30 pagi kami pun bertolak menuju ke puncak. Kami meninggalkan beg dan peralatan lain di Kem Bulat kerana kami akan tidur di sini lagi pada malam nanti. Kami hanya membawa bekalan air dan juga makanan tengah hari nanti. Trek pada peringkat awal masih melalui kawasan permatang yang berbukit-bukit. Sekali-sekala kami dapat melihat pemandangan walaupun agak terbatas penglihatan kerana dihalang oleh pokok-pokok dan juga kabus. Sangkaan kami bahawa perjalanan hari ini akan berjalan lancar nampaknya meleset kerana masih banyak pokok-pokok duri dan pokok-pokok tumbang yang mengganggu dan ini telah melambatkan sedikit masa kami.

Sepanjang pendakian juga kami dapat melihat kecantikan dan keunikan hampir 25 biji bongkah batu besar tersergam megah di tepi trek. Di celah-celah batu ini terdapat tempat tidur haiwan ataupun mungkin sebaliknya kerana kelihatan cukup bersih dan seperti terjaga, Wallahualam. Batuan yang berkemungkinan berusia ribuan tahun ini mempunyai berbagai-bagai bentuk dan saiz malah ada yang seperti kelihatan tergantung. Kami tidak melepaskan peluang ini untuk bergambar dengan batu-batu yang amat jarang dijumpai di gunung-gunung lain di Malaysia. Ada juga lumut-lumut yang sudah tertanggal dari batu yang menyerupai langsir. Di sini juga pertama kali kami melihat pokok Periuk Kera yang bersaiz agak besar dari biasa di mana ia boleh memuatkan objek sebesar botol mineral kecil di dalamnya. Kami juga bertemu dengan najis-najis haiwan serta tapak harimau kumbang dan beruang.

Sebelum sampai ke puncak, kami bertemu dengan sebuah simpang yang mempunyai plat kuning. Trek ini adalah dipercayai dari Kg Ulu Cheka, Jerantut. Akhirnya kami sampai di Puncak Gunung Benum pada pukul 3.15 petang iaitu 10 minit perjalanan dari simpang tadi. Tercapai juga cita-cita Ketua Ekspedisi kami iaitu saudara Azreen dan beberapa orang lagi yang mana sebelum ini pernah terkandas beberapa kali dan tidak sampai ke puncak disebabkan halangan-halangan yang tidak dapat dielakkan.

Puncak Benum boleh dikatakan agak luas dan terdapat sebuah besi penanda puncak atau lebih dikenali dengan panggilan beirut di sini. Ada beberapa kawasan perkhemahan yang boleh menempatkan lebih kurang 50 orang secara keseluruhan. Terdapat juga 2 biji periuk besar yang masih kelihatan baru di atas puncak. Mungkin tinggalan dari pendaki-pendaki terdahulu. Pemandangan sekeliling agak terbatas kerana puncak Benum dikelilingi oleh pokok-pokok renek dan bonsai. Menu makan tengah hari kami ialah roti pita dicicah serunding dan biskut. Selepas sessi bergambar, kami pun turun meninggal puncak Benum setelah sejam berada di atas sana. Semasa dalam perjalanan balik kami telah terpecah kepada beberapa kumpulan mengikut stamina masing-masing. Penulis yang berada di dalam kumpulan ‘sweeper’ berjalan agak perlahan kerana terdapat dua orang pendaki wanita yang mengalami sakit lutut. Kami sebagai kumpulan terakhir selamat sampai di Kem Bulat pada pukul 7.15 malam. Kumpulan pertama pula tiba pada pukul 5.45 petang.

Ketika ‘chef’ kami sedang memasak untuk makan malam, hujan tiba-tiba turun. Walaupun sedikit lebat, tetapi itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus memasak. Yang lain-lain pula menghabiskan masa dengan berborak di bawah flysheet. Nampaknya nasib menyebelahi kami kerana hujan turun tidak begitu lama. Menu kami pada malam ini ialah gulai lemak nenas ikan masin , ikan bilis goreng dan papedom. Walaupun menunya begitu sederhana tetapi sangat menyelerakan ditambah pula dengan keadaan cuaca yang sejuk selepas hujan. Kami tidur pada pukul 11 malam.

Hari Keempat – 2 Mei 2005
Hari ini segala azab akan selesai. Kami bangun seawal 6.30 pagi untuk bersembahyang Subuh dan menunggu matahari terbit. Alhamdulillah kerana cuaca yang baik telah membolehkan kami menikmati pemandangan matahari terbit yang sungguh indah. Walaupun agak terbatas pemandangannya kerana dihalang oleh pokok-pokok, namun itu tidak menghalang lensa-lensa kamera merakamkan gamabar panorama yang sungguh cantik itu.

Pagi ini kami bersarapan nasi lemak Budin yang sungguh menyelerakan sehingga masing-masing berebut untuk menambah nasi. Selesai bersarapan, kami mula mengemaskan beg dan kawasan perkhemahan. Segala sampah-sarap dibawa balik dan ada juga yang dibakar. Kami bergerak meninggalkan Kem Bulat pada pukul 10.15 pagi. Perjalanan kali ini agak lancar kerana masing-masing sudah tidak sabar untuk berendam di Lata Berembun. Tambahan pula, keadaan trek tidak lah seteruk di hari pertama kerana kali ini kami hanya menurun sahaja. Kami berehat sebentar di punca air terakhir sebelum meneruskan perjalanan. Perjalanan kumpulan ’sweeper’ masih lagi perlahan disebabkan 2 orang pendaki wanita yang mengalami kecederaan lutut semalam. Trek yang lebih banyak menurun menyukarkan lagi keadaan. Walaupun begitu, kami tidak banyak berhenti kerana kami telah berjanji dengan pemandu 4WD pada jam 5 petang. Adakala kami tersasar arah kerana tidak berjumpa dengan tanda takik pada pokok dan terikut denai binatang tetapi kami berjaya menemui semula trek yang betul.

Kami berhenti di sungai besar untuk makan tengah hari. Hanya maggi menjadi pilihan. Jam pula menunjukkan pukul 1.30 petang. Kami berehat agak lama kerana perjalanan seterusnya tidak berapa jauh. Kami meruskan perjalanan menyusuri tebing-tebing sungai.
Alhamdulillah, akhirnya kami kumpulan terakhir sampai di Lata Berembun pada jam 4.20 petang. Kelihatan kawan-kawan lain yang sampai lebih awal sedang asyik bermandi-manda. Ada yang sudah siap berpakaian untuk pulang. Kami pun mengambil peluang untuk membersihkan diri setelah 3 hari tidak mandi. Segala ceruk badan disental untuk menghilangkan daki-daki. Airnya yang sejuk membuat kami tidak berendam dengan lebih lama. Selesai menukar pakaian, kami pun menuju ke 4WD yang sudah lama menunggu dan meninggalkan Lata Berembun pada jam 5.40 petang.

Di atas 4WD, sekali lagi kami terpaksa berhadapan dengan jalan yang berlubang dan tidak rata, terpaksa menunduk untuk mengelakkan pokok-pokok yang terjuntai, serta menghidu bau asap diesel yang memeningkan penulis. Kelihatan dari jauh di belakang kami banjaran gunung namun tidak dapat dipastikan yang mana satukah Gunung Benum yang telah kami tawan 2 hari yang lalu. Kami singgah di Pekau Kuala Klau untuk membeli minuman dan sampai di rumah Abang Yan pada pukul 7.00 malam. Kami berehat sebentar dan memasukkan kembali beg-beg ke dalam kereta. Menjelang jam 7.30 malam, kami pun bergerak meninggalkan Felda Lembah Klau bersama seribu kenangan. Dalam perjalanan pulang, kami singgah untuk makan malam di Pekan Bentong. Akhirnya kami selamat sampai di Kuala Lumpur pada pukul 11 malam dan ekspedisi pun tamat.
--· ··- -· ··- -· --· --- -· ·-·· ·· -· ·
W a r i s a n K h a z a n a h P e r g u n u n g a n
·--- · -· ·- ·-··
Pentadbir GunungOnline
9W2WZL
http://jenal.multiply.com

Post Reply