Koleksi Blog : G Puntung Asap - G Bubu

Menyimpan dan mengemaskini log yang telah diposkan di dalam Gunung Online
Post Reply
kabusgunung
Skuad GPS GO
Posts: 737
Joined: 19 Jan 2006, 20:31

Koleksi Blog : G Puntung Asap - G Bubu

Post by kabusgunung » 08 Oct 2008, 13:52

Pagi itu indah.....

Setelah puas meneropong melalui celahan anak pokok di atas puncak Gunung Puntung Asap, aku berteriak lembut.

"Leennnn...."
"Klik....!" Sepantas kilat aku melepaskan shutter pada kelajuan 1/30 saat tatkala Azlin mengankat mukanya. Dengan bacaan ISO yang aku letakkan pada kadar 200 disamping aperture pada bukaan f/5.6 aku merakam jelas wajan Azlin ke dalam memori kad yang terselit di dalam badan kamera Nikon D40X aku. Lensa kamera berteknologi Vibration Reduction (VR) yang melekat pada badan kamera ini aku fokuskan pada jarak 55mm. Aku memilih metering yang bercorak spot untuk menaikkan riak mata dan mukanya. Senyumnya yang bersahaja turut tersimpul melukiskan wajah yang memikat.

Azlin bersama teman-teman pendakian yang lain sedang sibuk berbual menanti sarapan pagi yang disiapkan oleh Fizi disamping mencabut duri-duri rotan yang menusuk ke tapak tangannya yang lembut. Aku pula masih tidak henti-henti meneropong melaui lensa VR untuk merakam keindahan wajah alam sekeliling.

Ketika ini, pandangan sekeliling puncak Gunung Puntung Asap telah pun diselimuti dengan kabus-kabus gunung yang mengusap manja. Namun seawal pagi tadi, aku masih sempat menangkap jelas sinar matahari yang terbit mewarnai alam.

“Sana tuh Gunung Cabang Tiga…” jelas Skem kepada aku sambil memerhati seluruh garisan horizon Timur yang diwarnai cahaya matahari pagi.

Matahari pagi yang terbit dari arah Timur itu betul-betul muncul di sebalik Gunung Cabang Tiga. Puncaknya yang berceracak menujah langit jelas kelihatan apabila disimbah matahari pagi. Jalur cahaya yang terpancar antara puncak-puncak itu pula terus menjunam menuju muka bumi.

Menjelang tengah malam tadi hujan yang membasahi bumi telah berhenti. Lalu pagi ini 3 Februari 2008 yang menjadi hari terakhir ekpedisi mencipta cuaca yang sangat baik tatkala matahari pagi melemparkan senyuman di dada langit. Apabila mata pemerhati dihadapkan ke arah Timur Gunung Puntung Asap, sebahagian besar kawasan pendudukan lembah Padang Rengas jelas kelihatan disamping angin pagi yang menyapa lembut. Begitu juga dengan Sg. Perak yang tidak pernah jemu membawa arus air mengalir ke hilirnya.

Di bahagian Barat puncak Gunung Puntung Asap pula, pandangan mata terlempar jauh ke kawasan pendudukan Kuala Sepetang. Sg. Larut yang menyimpan beribu sejarah kependudukan negeri Perak terus mengalir seperti biasa untuk bertemu dengan sang ombak perairan laut.

Aku meletakkan badan kamera aku di atas tripod yang di bawa oleh Cikleey. Lensa Nikkor 50-200mm VR ditembak tepat ke arah perairan Kuala Sepetang. Sambil angin dari Laut Selat Melaka menyapu lembut ke pipi muka, aku melepaskan shutter pada kelajuan 1/125 saat setelah memilih program mode yang mementingkan aperture. Dengan menetapkan bacaan F-Stop pada skala 8.0, bacaan aperture Nikon D40X aku memberi skala maksimum f/5.0 untuk membawa imej Kuala Sepetang kepada sensor imej yang terdapat dalam lensa berteknologi VR ini. Dalam teknologi VR ini, satu mekanisma telah dipasang pada imej sensor untuk mengurangkan getaran semasa imej tadi bergerak masuk menuju sensor tersebut.


#########



Ekpedisi ke Gunung Puntung Asap ini bermula sejak dua hari lalu. Aku bergerak meninggalkan KL Sentral ketika jam menghampiri 1.00 pagi pada 1 Februari 2008 dengan menumpang kereta Cikleey. Di tempat duduk belakang kereta Cikleey hanya Azlia sahaja yang masih sudi berbicara, Leen telah pun lena melayan mimpi, manakala Nurul agak kaku untuk berbicara mungkin kerana inilah kali pertama kami berjumpa.

Setelah memasuki Lebuhraya Utara-Selatan, kami berhenti di Kawasan Rehat Sg. Perak sementara menanti hari siang. Aku mengambil kesempatan untuk berbaring tidur di kawasan rehat yang disediakan begitu juga yang lain.

Tatakala subuh menghampiri waktunya, kelihatan Skem tiba bersama Yap. Selesai sembahyang subuh, Nurul mengambil keputusan untuk menaiki kereta Yap bersama Skem. Lalu kami bergerak ke Kuala Kangsar untuk bersarapan pagi di sana.

Setelah bersarapan pagi kami ke rumah Fizi selaku gogonizer sebelum menuju penempatan terakhir yang didiami oleh manusia untuk projek kali ini iaitu di pekan Padang Rengas. Dari sini, kami menaiki lori menuju titik permulaan ekpedisi iaitu Empangan Sg. Kangsar.

“Kat sini petang-petang hujan lebat sangat.” Ujar pemandu lori tersebut kepada kami. Sambil itu aku memerhati ke arah Sg. Kangsar yang mengalir deras di kawasan empangan ini. Warna airnya tidak ubah seperti teh tarik. Langkah pertama Ekpedisi Gunung Puntung Asap ini dimulakan dengan menyeberangi kawasan Empang Sg. Kangsar.

Hari pertama pendakian memang tidak menyukarkan aku. Perjalanan banyak melalui bekas jalan balak yang sudah tidak digunakan. Denai hutan yang menjadi laluan juga masih jelas kelihatan. Sekali-sekala laluan terpaksa merentasi Sg. Kangsar yang mengalir deras. Cuma kawasan hutan yang lembab akibat hujan memaksa aku bergelut dengan bilangan pacat yang sungguh banyak.

Kami berhenti makan tengah hari di satu kemsite yang terletak antara ibu Sg. Kangsar dan anak sungainya. Setelah sesi bergambar dan makan tengah hari selesai dijamah, perjalanan menyusuri Sg. Kangsar diteruskan.

Menjelang pukul 4.00 petang, langit yang tadinya pekat telah mula menitis titik-titik hujan. Aku memasukkan kamera yang tergantung di dada ke dalam dry bag yang tersumbat dalam haversack aku. Tidak lama selepas itu selebat hujan turun menghempas bumi.

Setengah jam kemudian kami tiba di satu kem site yang diberi nama Matau Sementara. Banyak sekali peralatan perkhemahan dibuang begitu sahaja di kem site yang rata dan luas ini. Keputusan diambil untuk bermalam di sini walaupun petang masih awal.

Hujan yang lebat tadi berhenti kira-kira jam 6.30 petang. Setelah mandi dan menukar pakaian tidur aku turut sibuk untuk menyiapkan menu makan malam iaitu nasi lauk sotong masak merah.

Jam menghampiri pukul 9.00 setelah makan malam selesai di ambil. Mata masih segar dan banyak masa diluangkan untuk berborak dan membahan sesama sendiri. Antara mangsanya ialah Skem dan Nurul yang kelihatan sebagai pasangan yang cukup serasi. Suara Cikleey memang tidak ketinggalan dalam kejadian membahan sesama sendiri ini.

“Kau dah best fren aku... jadi kau maner boleh jadi pakwe aku...” Leen menjawab kata-kata Cikleey.

“Habis tuhhhh... aku bukan best fren kau... maknanyer ada ruanglaaah untuk aku di hati kau...????” Aku memintas kata-kata Leen yang kemudiannya tertunduk diam. Yap pula turut bersetuju dan yang lain hanya menjawab dengan ketawa nyaring.

Menjelang tengah malam masing-masing telah pun masuk ke dalam sleeping beg untuk tidur. Malam ini tidur agak awal mungkin kerana letih perjalanan dari Kuala Lumpur semalam.



~~~~~~~~~~~



“Bila... aku sudah tiada... simpan semua lagu ku... jangan ditangis selalu... mungkin... itu sementara... bila jumpa penggantiku... jangan dilupakan... aku...” Celik mata pada hari kedua ekpedisi 2 Februari 2008 lagu dari Hujan bermain dalam kepala otak aku. Mungkin kerana pagi itu indah...

“Pagi... itu... indah seperti biasa... tidur yang lena... terhenti di sana... mata... kuyu... masih tak terdaya... bukalah tingkapmu... curahkan cahaya...” Memang pagi ini indah... Berada di tengah hutan tatkala embun pagi sedang dibakar sang suria terasa sungguh nyaman. Di sebalik dedaun pokok pula, kicauan burung berselang-seli menyanyikan irama alam mergastua tanpa rasa jemu untuk menambah keindahan pagi.

Aku memerhati di bawah hujung flysheet. Kelibat Leen bersama Nurul sedang sibuk di dapur.

“Leen masak aper..???” Aku menyoal.

“Kuew tiau...” Leen membalas.

“Masak macam maner?” Aku sengaja inginkan kepastian.

“Goreng biasa jerr... pakai sos ni haaa... Dah siap dah punnn... Tapi tak taulah rasa dia macam maner... Cuba laaa rasa.” Panjang ujarnya.

“Tak nakk laaaaah... Nak pegi gosok gigi dulu lah... ” Aku menolak pelawaan Leen dan bergegas bangun menuju ke sungai sambil mencapai berus gigi.

“OK.” Leen membalas pendek.

Setelah kembali dari sungai, kesemua rakan-rakan ekpedisi yang lain telah pun bangun dan berkerumun di dapur. Selesai mengambil sarapan dan mengemaskan kawasan tapak perkhemahan, perjalanan menuju Gunung Puntung Asap diteruskan pada jam 10.30 pagi.

Perjalanan masih bersambung dengan menyusuri tebing Sg. Kangsar menghala ke hulunya seperti semalam. Namun selepas 10 minit meniggalkan kem site Matau Sementara, denai hutan yang aku lalui membawa perjalanan ekpedisi ini naik menyusuri permatang bukit di sebelah kiri Sg. Kangsar. Sedikit demi sedikit... laluan menjadi terpacak... dan tegak... dan.... pangokkkkk!

Sekali-sekala aku berhenti rehat melepaskan lelah dan mengambil bacaan GPS untuk melihat kedudukan dalam topografi yang Fizi bekalkan kepada aku. Setelah hampir dua jam perjalanan, Yap memanggil nama aku di kawasan yang dipenuhi dengan pokok berdaun nipah sambil menunjukkan seekor haiwan berupa kura-kura. Spesis haiwan seperti ini dinamakan ‘baning’ oleh penduduk setempat.

Jam 3.00 petang aku menyarankan Fizi supaya berhenti makan tengah hari. Kedudukan aku bersama ahli kumpulan betul-betul di atas susur bukit yang menegak. Skem turun mencelah antara batang pokok-pokok untuk turun ke sebalik susur bukit ini. Tidak sampai 10 minit dia kembali dengan botol yang berisi air. Syukur... dapat juga bekalan air untuk tidur di puncak.

Target yang aku tetapkan di dalam GPS nampak masih jauh untuk diharungi. Namun angin petang yang membuai pada ketinggian 1300 meter dari aras laut ini telah pun menjemput senja untuk datang bertamu. Di ufuk Barat pula... mentari senja yang berlabuh sedang indah melakar warna merahnya di garisan horizon. Memang mujur kerana aku sempat melihat suasana matahari terbenam di hujung horizon Laut Selat Melaka semasa bergerak menunju ke puncak Gunung Puntung Asap.

Perjalanan menegak diteruskan sehinggalah aku tiba di puncak Gunung Puntung Asap tatkala jam menunjukkan pukul 8.30 malam bersama Skem yang berjalan paling hadapan sekali. Cikleey yang berada di belakang sekali tiba kira-kira setengah jam kemudian.

Sepatutnya kami boleh tiba sedikit awal di puncak Gunung Puntung Asap. Tetapi aku telah kehilangan laluan hutan kira-kira sejam pada petang tadi menyebabkan kerja-kerja menebas jalan baru terpaksa dilakukan. Tambahan lagi, hujan sedikit lebat mengiringi perjalanan kami sejak jam 6.30 petang tadi.

Selesai sarapan malam aku mengambil keputusann untuk tidur awal. Tapi kerana mulut Azlia yang tidak berhenti mengomeh menyebab aku terlelap ketika jam telah menghampiri pukul 2.30 pagi.

#########

Setelah selesai bergambar di puncak Gunung Puntung Asap, perjalanan seterusnya ialah menuju Gunung Bubu West seperti yang terdapat di dalam topografi pemberian Fizi. Yap berada di hadapan sekali untuk merintis jalan baru menuju Gunung Bubu West bersama Skem dan diikuti oleh Fizi.

Jam telah pun menghampiri pukul 11.30 pagi ketika kaki melangkah meninggalkan puncak Gunung Puntung Asap. Setelah 2 jam menebas anak bonsai dan duri rotan, akhirnya aku menjejak kaki di puncak Gunung Bubu West. Dari Bubu West aku terus menuju puncak Gunung Bubu yang jaraknya hanya 300 meter.

Besi beirut Gunung Bubu masih tegak berdiri seperti biasa. Namun tidak ramai yang menyedari kewujudan puncak Gunung Bubu West. Ini kerana... Gunung Bubu, Kem Site G Bubu, Gunung Bubu West dan Gunung Puntung Asap adalah 4 lokasi yang berbeza.

Aku bergerak turun dari puncak Gunung Bubu pada jam 1.30 petang. Leen yang berada di belakang aku bergerak sangat perlahan sekali kerana kakinya sakit. Cikleey masih kekal menjadi sweeper.

Setelah mengambil makan tengah hari di kem Sg. Gading aku terus memecut keluar ke Kem Ulu Kenas bersama Azlia yang berjalan di hadapan aku. Kami tiba di Kem Ulu Kenas tepat jam 7.30 malam. Skem dan Nurul tiba lebih awal dari kami. Leen, CikLeey, Yap dan Fizi tiba lewat 2 jam kemudian.

Setelah mandi dan menukar pakaian di rumah Fizi, kami mengambil makan malam di kedai yang berhampiran. Jam menunjukkan 1.30 pagi Isnin 4 Februari 2008... aku, Leen dan Azlia sekali lagi menumpang kereta Cikleey untuk pulang ke Kuala Lumpur. Dan kami tiba di KL Sentral jam 4.00 pagi.

.....TAMAT......

User avatar
cik_leey
Pendaki Tegar
Posts: 286
Joined: 22 Mar 2006, 10:32

Re: Koleksi Blog : G Puntung Asap - G Bubu

Post by cik_leey » 20 Oct 2009, 23:33

kuat betul ingatan kau ya mawi..dan aku pulok rasa nak p sekali lagi ke sana seronok dua ronok tu....au.... :lol:
:) BETTER LATE THAN NEVER.....

kabusgunung
Skuad GPS GO
Posts: 737
Joined: 19 Jan 2006, 20:31

Re: Koleksi Blog : G Puntung Asap - G Bubu

Post by kabusgunung » 21 Oct 2009, 22:01

nih topik zaman tok kadok daaaa....
ko bukak laaaa lagi sat trek baru ... ekceli ader lagi satu trek zaman duludulu utk naik ke bubu west..

User avatar
cik_leey
Pendaki Tegar
Posts: 286
Joined: 22 Mar 2006, 10:32

Re: Koleksi Blog : G Puntung Asap - G Bubu

Post by cik_leey » 22 Oct 2009, 16:01

tok aku ckp dari kampung aku ada trek ke sana apa kata kita p cari itu trek sama-sama ada brani :kah:

aku saje buka topik ni utk mengenangkan saat-saat yg indah besama kekwn yg lama aku tak jumpa :mrgreen:
:) BETTER LATE THAN NEVER.....

Freelance
Senator Gunung
Posts: 1355
Joined: 06 Dec 2005, 13:16
Location: Kuala Lumpur

Re: Koleksi Blog : G Puntung Asap - G Bubu

Post by Freelance » 15 Apr 2012, 22:46

nak tanya ..sape leh bawak g gunung puntung asap ? :mrgreen:

Post Reply